My Dream

welcome

Lorem Ipsum is simply dummy text of the printing and typesetting industry. Lorem Ipsum has been the industrys standard dummy text ever since the 1500s, when an unknown printer took a galley of type and scrambled it to make a type specimen book. It has survived not only five centuries, but also the leap into electronic typesetting, remaining essentially unchanged. It was popularised in the 1960s with the release of Letraset sheets containing Lorem Ipsum passages, and more recently with desktop publishing software like Aldus PageMaker including versions of Lorem Ipsum.

“ORANG KITA”



AKTIVITI MENYEMBUR RACUN

Saya baru saja pulang dari meninjau-ninjau kebun kelapa sawit di belakang rumah ketika saya menulis artikel ini. Sudah sembilan hari berlalu namun saya masih belum melihat kelibat kekuningan yang biasanya berlaku pada semak samun apabila selesai disembur racun rumput. Seminggu yang lalu saya telah mengupah seseorang (orang tempatan) untuk menyembur racun di kebun saya. Secara kebetulan, orang itu memang hendak mencari kerja kerana perlukan wang. Jadi, saya terus mengupah orang itu dan dia berjanji untuk buat kerja itu keesokan harinya. Niat di hati saya adalah tulus untuk menolong. Justeru saya biarkan orang itu buat kerja walau pun saya tiada di sana dengan harapan agar orang itu pun buatlah kerja dengan baik. Namun hasilnya adalah agak amat mengecewakan saya. Tapi apa nak buat gajinya pun dah diberikan.

Lima bulan yang lalu saya pernah mengupah seseorang (orang asing yang mempunyai permit kerja) untuk melakukan perkara yang sama iaitu menyembur racun di kebun yang sama. Orang ini pada mulanya hanya bertanya samada terdapat kerja sampingan atau tiada. Jadi kebetulan pula kebun sawit saya itu sudah semak maka saya katakan ada iaitu menyembur racun. Orang itu pun sanggup buat kerja tanpa bertanya gajinya terlebih dahulu. Jadi, keesokan harinya dia pun buat kerja tanpa saya ada di sana juga. Tiga hari kemudian hasil kerjanya sungguh memuaskan hati dan saya pun langsaikan gajinya.

AKTIVITI MEMBINA KANDANG KAMBING

Setahun yang lalu saya mengupah seorang penduduk kampung (orang tempatan) untuk membina sebuah kandang kambing. Saiz kandang kambing itu tidak sebesar mana pun. Kebetulan orang ini memang perlukan kerja juga demi menyara keluarganya. Hari pertama orang ini buat kerja dia telah berjumpa dengan saya untuk meminjam wang kerana kesempitan. Tiada beraslah, tiada wang bayar hutanglah dan macam-macam lagi alasan. Jadi, atas dasar belas kasihan saya pun pinjamkan orang ini sejumlah wang. Hari berikutnya pun begitu juga keadaan orang ini. Sehingga akhirnya jumlah pinjaman orang itu dah melebih jumlah gajinya namun peratus kerja orang ini tidak pun sampai separuh. Dipendekkan cerita, tanpa menyiapkan kerja dan tanpa alasan orang ini berhenti kerja begitu saja. Dalam hal ini saya tidak dapat berbuat apa-apa lagi. Silap saya juga kerana terlalu mempercayai orang ini. Akhirnya, saya terpaksa meminta pertolongan daripada seorang pekerja asing yang kebetulan tinggal berdekatan di tempat saya. Orang asing ini berjaya menyiapkan kandang kambing saya itu dalam masa lima hari saja tanpa ada pinjaman.

MENJADI PENJAMIN

Pada bulan oktober 2008, seorang penduduk kampung yang juga merupakan saudara terdekat saya meminta agar saya menjadi penjamin kepada beliau kerana hendak membeli sebuah motorsikal bagi kegunaannya menjual ikan di kampung. Pada mulanya, saya agak keberatan menjadi penjamin kepada orang ini kerana bimbang orang ini tidak dapat menampung bayaran bulanan motorsikal ini. Namun, apabila orang ini merayu kepada saya sehingga beberapa kali maka saya pun jatuh kasihan lalu membantunya. Lagi pula, semasa beliau merayu dia katakan bahawa dia sanggup memotong jarinya jika tidak dapat membayar bulanan motorsikal itu. Saya tersenyum saja dan keesokannya orang ini sudah berjaya mengeluarkan sebuah motorsikal berjenama Honda hasil dari pertolongan saya. Dalam hal itu saya juga gembira kerana dapat membantu orang ini.

Dipendekkan cerita, minggu lepas (setelah hampir setahun) saya terkejut apabila satu surat saman daripada syarikat motorsikal itu diberikan kepada saya. Rupa-rupanya, sudah lima bulan motorsikal itu tidak dibayar. Saya pun datang ke rumah saudara saya itu untuk meminta penjelasan namun jawapan yang diberikan sungguh tidak masuk akal saya. Akhirnya, dengan berat hati saya membayar tunggakan motosikal itu bagi mengelakkan nama saya daripada blacklist. Saya juga mengambil motorsikal itu daripada saudara saya kerana bimbang kalau dia tidak dapat membayar lagi. Sekarang motorsikal itu hanya terperap di rumah kerana tiada yang pakai. Lebih baik begitu daripada saya menanggung kerugian yang tidak berbaloi. Dalam hal itu, hati saya berbisik “tidak tolong pun susah, menolong pun susah”.

AKTIVITI MENGHANTAR ORANG

Perkara ini pula berlaku semasa saya baru bekerja kira-kira empat tahun yang lalu. Kira-kira lima bulan dari itu saya pun membeli sebuah kereta. Saya tinggal bersama ibubapa di mana lokasinya berdekatan dengan Pekan Tandek (Kg. Asin-Asin). Sebagai ibubapa sudah tentu mereka tumpang gembira melihat anak mereka mempunyai kereta. Keluarga-keluarga yang lain juga tumpang gembira. Dipendekkan cerita lagi, adalah seorang makcik saya ini (kira sepupu ibu saya yang jauh) yang tinggal di kampung bersebelahan selalu pergi ke tamu di Pekan Tandek pada setiap hari khamis. Jadi apabila hari petang maka dia selalu singgah di rumah kami dan meminta agar dihantar ke rumahnya. Begitulah keadaannya selalu apabila hari khamis. Kadang-kadang itu saya agak bosan juga dengan karenah makcik ini namun ibu saya selalu menasihatkan saya agar selalu membantu orang tua.

Minggu berganti minggu dan bulan berganti bulan maka saya pun sampailah ke satu tahap bosan yang teramat sangat dengan karenah makcik ini. Bukannya tidak mahu menolong dan tidak menghomati orang tua tapi kalau sudah dijadikan rutin mingguan maka saya pun ada hadnya. Jadi, mulai hari itu saya pun tidak balik ke rumah sehingga malam jika hari khamis kerana hendak mengelak daripada makcik itu. Dijadikan cerita, selepas beberapa bulan dari itu maka saya pun terdengar beberapa cakap-cakap kosong bahawa makcik itu mengatakan bahawa saya terlalu sombong dan tembirang. Hati saya agak geram jugalah dengan makcik ni tapi apa yang boleh dibuat. Saya tahu mungkin itu adalah tindak balas daripada makcik tu kerana saya tidak menghantarnya lagi tapi nak buat macam mana kan? Kita memang tidak akan dapat memuaskan hati semua orang.

MENYARA ORANG SUSAH

Kisahnya bermula ketika saya baru menamatkan pengajian di universiti. Terdapat sebuah keluarga yang susah sehingga tiada tempat tinggal. Entah apa yang berlaku sehingga mereka ini langsung tiada tempat berteduh maka ayah saya pun mengizinkan mereka sekeluarga untuk tinggal di rumah kami. Demi dasar belas kasihan segala perbelanjaan makan minum di dalam rumah kami ditanggung oleh kami sekeluarga. Ketika itu saya pun belum mendapatkan kerja dan hanya membantu ayah menoreh getah.

Dipendekkan cerita lagi, setelah beberapa bulan mereka tinggal di rumah kami itu saya pun mulai berasa janggal dengan mereka sekeluarga. Sudahlah mereka makan-minum free saja sehinggakan soal menyediakan makanan pun ibu saya yang buat semuanya. Selepas makan, bekas-bekas makanan (pinggan mangkuk) pun ibu saya pula yang tolong kemaskan dan bersihkan. Begitulah setiap hari yang berlaku. Kadang-kadang tu, saya marah dengan sikap ibu saya hanya berdiam diri saja dengan karenah mereka.

Keadaan itu berlarutan sehingga hampir setahun mereka tinggal di rumah kami. Mereka hanya duduk di rumah saja setiap hari tanpa memikirkan keadaan mereka. Inisiatif untuk membina rumah sendiri pun tiada langsung kerana mereka sangat selesa tinggal di rumah kami itu. Jiwa saya pula mulai dirasuk setan melihat telatah mereka yang bagaikan raja di dalam rumah. Hanya menunggu untuk dihidangkan makanan. Mereka langsung tidak memikirkan kesulitan kami yang menyara mereka. Kalau sehari dua tidak apa juga tapi ini dah setahun mereka tinggal bersama kami tanpa ada inisiatif untuk membantu kami.

Satu hari ketika saya baru balik dari kerja. Ibu saya mengadu tidak sihat. Ayah pula masih di kebun. Makan minum masih belum ada. Mereka sekeluarga pula asyik melepak di rumah menonton TV. Maka meluaplah darah muda saya. Tanpa saya sedari, saya mula mengamuk dengan mereka. Lantas keluarlah perkataan dari mulut saya mengatakan “mulai esok kamu harus cari tempat tinggal lain kerana saya tidak mahu lagi kamu tinggal di rumah ini”. Ibu saya marah dengan kata-kata saya itu tapi saya berpuas hati kerana dapat menyedarkan mereka akan keadaan kami. Seminggu kemudian mereka pun pindah entah ke mana. Saya pun tidak ambil peduli lagi. Tolong-tolong juga tapi kalau dah melampau kita pun ada hadnya.

Beginilah antara beberapa pengalaman yang saya alami dengan orang kita. Kadang-kadang saya terfikir juga bahawa kemiskinan bagi sesetengah orang kita ini bukanlah kerana dia dilahirkan miskin tetapi ia disebabkan oleh faktor sikap dan pemikiran. Bagaimana nak maju kalau sikap memang pemalas, kerja tidak bersungguh-sungguh, tidak tahu berdikari sendiri, pentingkan diri dan berfikiran pendek serta tidak tahu menghargai pertolongan orang lain. Suatu ketika dulu, keadaan keluarga kami juga amat daif. Namun dengan usaha dan iltizam kedua ibubapa saya maka kami telah dapat keluar dari kepompong kemiskinan. Hari ini, saya tidaklah sekaya mana pun tetapi tidaklah mewarisi kemiskinan nenek moyang dulu.

UCAPAN HARI RAYA AIDILFITI 2009

Sempena Hari Raya ini saya ingin mengucapkan
Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin
buat semua rakan-rakan di seluruh Malaysia yang akan menyambut perayaan ini. Semoga ikatan perpaduan dan keharmonian kita semua akan terus terpelihara

CATATAN KEMERDEKAAN YANG LESU



Saat kemerdekaan yang dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia kian dekat ketika doktor memutuskan aku agar dimasukkan di sebuah hospital tempatan. Ketika itu, jiwaku terseksa apabila aku sendiri tidak merdeka dari melakukan apa saja lantaran pergerakanku yang amat terhad dan terbatas akibat pembedahan yang aku alami. Di kala semua kawan-kawan telah menghabiskan waktu-waktu cuti yang indah bersama keluarga aku pula terlantar di hospital melalui rawatan dan hanya dapat memperhatikan orang-orang disekililingku. Seakan-akan jiwa meronta kesakitan takkala kebebasanku sebelum ini diragut oleh kesan pembedahan yang aku lalui sendiri.

Pengalaman kecil di hospital ketika bulan kemerdekaan yang lalu telah memberikan aku satu keinsafan bahawasanya nilai kebebasan sebenar hanya akan dihargai oleh orang yang pernah diragut kebebasannya. Peristiwa yang aku lalui ini menjadikan aku faham tentang makna kemerdekaan. 52 tahun yang lalu, seluruh rakyat di Tanah Melayu berhasil mencapai kemerdekaan dan kita tidak dapat membayangkan betapa gembiranya perasaan mereka apabila kebebasan di negara sendiri telah mula dikecapi. Mereka seperti burung yang baru sahaja terlepas dari sangkarnya. Bebas sebebas-bebasnya tanpa ada lagi campurtangan penjajah. Pendek kata, hidup mati negara ini sudah di tangan mereka sendiri.

Rentetan itu, saban tahun kita pasti akan terasa bahang tersebut apabila mendekati tarikh yang penuh keramat itu. Seluruh rakyat Malaysia dari pelbagai bangsa dan agama turut serta demi menghormati kemerdekaan negara yang tercinta dan yang pastinya, setiap dari kita sudah tentu tidak terlepas dari memikirkan apakah makna kemerdekaan dalam diri kita yang sebenarnya.

Kemerdekaan bererti sebuah kebebasan yang mutlak. 46 tahun yang lalu, beberapa pemimpin Sabah ketika itu seperti Tun Mustapha dan Donald Stephens melaungkan kata-kata merdeka buat pertama kalinya sempena peristiwa pembentukan sebuah negara yang baru iaitu MALAYSIA. Sir William Goode iaitu Gobenor Borneo Utara yang terakhir mengatakan bahawa “hari ini merupakan hari yang sungguh bersejarah buat Sabah kerana kemerdekaan ini menandakan bahawa berakhirnya sebuah perjanjian dan bermulanya sebuah pemerintahan sendiri”. Manakala Tunku Abdul Rahman pula berkata bahawa “pembentukan Malaysia akan membolehkan wilayah-wilayah Borneo akan dapat menukar statusnya sebagai tanah jajahan British kepada pemerintahan sendiri dan sekali gus mencapai kemerdekaan melalui Malaysia”. Inilah antara harapan dan perjuangan tokoh-tokoh pemimpin yang sama-sama membentuk sebuah negara yang berkonsepkan rakan kongsi dan bukannya sebuah jajahan yang baru. Hari ini, kita bersyukur kerana Malaysia yang wujud sejak itu masih aman damai dan harmoni serta tidak berlakunya persengketaan.

Namun persoalan yang menerjah di benak kita semua pada hari ini ialah hasrat rakyat Sabah untuk bebas dari konsep belengu penjajahan supaya dapat memimpin dan menentukan masa depan sendiri seperti yang termaktub dalam beberapa dokumen Perjanjian Malaysia nampaknya kian pudar bersama lipatan sejarah kemerdekaan negara. Fakta tentang sejarah kemerdekaan Sabah yang diperolehi daripada British pada 31 ogos 1963 dan sejarah Pembentukan Malaysia yang sebenar pada 16 September tahun yang sama nampaknya semakin lama dilupakan oleh pemimpin. Ini menjadikan generasi baru pada hari ini kelihatannya terpinga-pinga untuk memahami kewujudan Malaysia kerana kurangnya pendedahan dan penjelasan yang tertib tentang sejarah pembentukan negara ini. Tidaklah amat keterlaluan jika dikatakan bahawa golongan muda kita pada hari ini hanya tahu tentang peristiwa 31 Ogos 1957. Justeru, di mana silapnya jika realiti sejarah ini diperbetulkan dan diperjelaskan? tetapi nampak gayanya ini belum menjadi keutamaan kepimpinan negara kini.

Sebuah kemerdekaan juga merupakan suatu keadilan yang nyata. Namun dalam ruang keadilan yang kita nikmati dalam negara kita kini ternyata masih ada lompangnya. Kekadang naluri hati yang tulen dan waras masih tertanya-tanya mengapa di Sabah seorang pegawai kerajaan yang dilahirkan di Tanah Melayu mempunyai gaji yang tinggi berbanding dengan pegawai yang sama yang dilahirkan di Kepulauan Borneo walaupun mereka ini mempunyai pangkat dan kelulusan yang sama tarafnya. Begitu juga kisahnya dengan lambakan siswazah di negeri Sabah ini yang gagal mendapat pekerjaan sedangkan ramai pula graduan dari negeri seberang yang dihantar untuk berkhidmat di negeri ini. Apakah ini menunjukkan bahawa kita pada hari ini masih lagi ditakuk lama yang masih dianggap tidak layak untuk berkhidmat dan mentadbir negeri sendiri? Inilah antara satu dalam banyak lagi persoalan yang masih belum punya penghujungnya.

Gagasan 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri kita sekarang ini juga merupakan sebahagian daripada manifestasi tujuan kemerdekaan bagi negara kita. Ianya sungguh baik untuk rakyat jelata Malaysia yang cintakan perpaduan, keadilan dan keamanan. Dalam gagasan hebat ini sudah pasti tiada lagi kasta bagi masyarakat yang majmuk kerana semua rakyat Malaysia menjadi satu bangsa. Tiada lagi kawasan yang menjadi anak emas bagi pemerintah kerana semua tempat di Malaysia ini berhak untuk tidak dianaktirikan. Tidak kiralah dimana kita berada, apakah agama yang kita anuti dan apakah bangsa kita asalkan kita rakyat Malaysia maka kita semua adalah satu dalam Malaysia. Namun dalam konteks Sabah dalam Malaysia ketika ini, ternyata konsep ini masih jauh dari apa yang difikirkan oleh rakyat Sabah keseluruhannya. Ternyata iklan-iklan yang digambarkan dikaca TV sekali pun amat mengenepikan kewujudan pelbagai bangsa di Sabah. Yang kelihatan hanyalah gabungan MIC (Malay, India , Cina) sahaja. Mungkinkah kita dilupakan?

Sesungguhnya, 1Malaysia telah pun berakar umbi dalam jiwa masyarakat kita di Sabah. Sungguh tidaklah melampau jika dikatakan bahawa gagasan ini telah pun merentasi sempadan budaya, agama dan bangsa kita sejak sekian lamanya. Justeru, kerajaan dan pemimpin negara ini haruslah melihat dan mentransformasikan 1Malaysia dalam ruang lingkup yang lebih luas di negeri ini. Kesedaran atas ketanggungjawaban dalam memimpin dan mencorakkan masa depan negeri Sabah sendiri sudah lama diimpikan oleh keseluruhan rakyat Sabah. Maka dengan itu, gagasan ini harus diterjemahkan melalui kepercayaan kepada anak jati Sabah dalam memimpin dan menjalankan usaha pentadbirannya mengikut acuan sendiri sesuai dengan konsep dan formula pembentukan negara yang menjamin kedudukan Sabah dalam Malaysia.
Sekadar memetik kata-kata yang ulung dari seorang negarawan ulung, Kemerdekaan sesebuah bangsa adalah kebebasannya dalam memimpin dan menjalankan pemerintahan sendiri tanpa adanya sebuah bangsa lain yang mencampurinya. SELAMAT HARI MALAYSIA (16/9)

WACANA BANGSA


Salam Hormat buat semua pembaca sekalian. Nampaknya kali ini percutian saya dari dunia blog hampir menjangkau tiga purnama lamanya dek kesibukan yang tidak dapat dielakkan. Dari jengukan saya di blog rakan-rakan (Kota Marudu) banyak juga isu tempatan yang hangat dibicarakan malah isu negara juga tidak kurangnya. Dari perihal kecincaian pelaksanaan projek, Isu pungutan cukai oleh MDKM, Indeks prestasi YB sedia ada, cadangan tambahan kerusi bagi parlimen KM, keruntuhan moral remaja sekarang dan sehinggalah kepada isu H1N1, polemik sistem pendidikan nasional (PPSMI) dan juga soal-soal politik negara. Wow...dengan perkembangan ini maka saya mengambil kesimpulan untuk mengucapkan tahniah buat semua bloggers yang semakin matang membicarakan isu, melontarkan idea bernas dan membuat satu anjakan paradigma yakni bangkitnya semangat revolusi. Dengan perkembangan ini juga maka ia telah memungkinkan kita semua untuk bersatu hati mengetahui visi dan misi serta harapan dan perjuangan masing-masing walau pun nun jauh di mata.

Saudara yang budiman, pagi ini saya selesai membaca sebuah buku yang bertajuk "Melayu Perlu Berubah" hasil nukilan oleh orang yang agak tersohor dalam dunia perjuangan melayu iaitu Professor Diraja Ungku Aziz. Dalam buku tersebut beliau mengatakan bahawa sudah tiba masanya orang melayu hari ini harus menghadapi segala kemunduran, kemiskinan dan kelemahan dengan sikap yang jujur dan berani. Kita tidak perlu lagi berasa segan. Kita mesti tegas dan berani mengatakan bahawa kita orang melayu, dan kita mahu menakluki dunia. Kenapa harus segan? Kenapa malu mengaku melayu. Kalau melayu, melayulah. Begitulah kata-kata saranan yang diutarakan oleh pejuang melayu tulen ini yang khususnya ditujukan kepada masyarakat melayu takkala beliau merasakan ada sesuatu yang tak kena dengan golongan ini sekarang di bumi Malaysia.

Saudara dan saudari sekalian, perkataan melayu perlu berubah nampaknya bukan lagi sesuatu yang agak asing di pendengaran kita. Sejak kepimpinan terdahulu sehinggalah sekarang saranan ini telah acapkali diutarakan oleh pelbagai lapisan masyarakat melayu itu sendiri iaitu bukan sahaja di kalangan ahli politik malah aktivis masyarakat, ahli akademik, golongan profesional hatta masyarakat bawahan sekali pun. Namun begitu ada sesuatu yang agak menarik untuk didiskusikan daripada buku tersebut iaitu saranan beliau untuk berlaku jujur terhadap segala kemelut kemunduran, kemiskinan dan juga kelemahan yang ada pada bangsanya. Begitu juga dengan semangat yang dibangkitkan oleh beliau supaya menidakkan kegentaran dari keadaan itu dan bangkit untuk melawannya.

Justeru, dalam konteks situasi dan keadaan masyarakat minoriti seperti kita hari ini nampaknya realiti ini tidak jauh berbeza dengan apa yang berlaku dengan masyarakat melayu sekarang di Malaysia. Umum mengetahui bahawa masyarakat kita hari ini masih lagi di tahap masyarakat yang miskin dan mundur dari pelbagai aspek. Masyarakat kita masih dilihat amat jauh terkebelakang berbanding bangsa lain di Malaysia. Malah masyarakat kita juga masih di awang-awangan dalam mencari arah politik sebenar dek ketiadaan pemimpin yang bijaksana, disegani, berintegriti dan yang boleh diharapkan untuk memimpin negara. Survival politik masyarakat kita masih lemah sehingga ianya seperti hidup segan mati tak mahu takkala kesinambungan politik kita hari ini masih berdiri dari kebergantungan orang lain semata-mata. Penglibatan dalam hal ehwal ekonomi negara juga adalah jauh panggang dari api. Rata-ratanya keadaan ekonomi masyarakat kita hari ini tidak jauh berubah sejak dari dahulu lagi. Golongan petani dalam masyarakat kita sejak 30 tahun yang lalu masih lagi tidak dapat berganjak dari keadaan tradisi itu sehingga kini. Sawah padi sebendang yang diusahakan masih diwarisi oleh generasi seterusnya sekaligus membuktikan bahawa tiada perkembangan ekonomi yang mapan di kalangan masyarakat kita. Begitu jugalah dengan penghijrahan kaum belia yang ramai ke Semenanjung menunjukkan bahawa tiada peluang ekonomi yang tersedia di persekitaran kita sehingga memaksa mereka ini untuk berkongsi limpahan ekonomi di tempat lain. Kebanggaan masyarakat kita terhadap keramaian graduan yang terjana hasil dari kesedaran kepentingan pendidikan juga mula terhakis bila mana bukan semuanya mendapat peluang pekerjaan yang diharap-harapkan. Harapkan cerah hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari, begitulah keadaan para permata bangsa yang bersusah payah merintangi cabaran namun tidak beroleh pekerjaan sehingga akhirnya segala impian dan harapan para keluarga untuk dirubah dari kepompong kemiskinan juga tidak kesampaian. Saya melihat bahawa inilah antara faktor-faktor yang menyumbang kepada keadaan masyarakat kita hari ini. Hakikatnya harus kita terima bahawa kawasan kita diistiharkan sebagai kawasan yang termundur dan termiskin di Malaysia adalah hasil dari terjemahan realiti masyarakat kita sendiri yang masih mundur hingga ke hari ini.

Bagaimana pun, seperti kata-kata Prof DiRaja Ungku Aziz dalam bukunya itu maka kemunduran dan kemiskinan ini harus diakui oleh masyarakat kita dengan jujur berdasarkan penjelasan yang saya sebutkan di atas. Masyarakat kita tidak harus merasa jangkal dan kekok bila berhadapan dengan ahli masyarakat yang lebih dominan baik di dalam mahupun di luar negara. Kelemahan ini juga tidak harus terus-menerus menghalang masyarakat kita untuk terus berubah menjadi maju. Golongan para cerdik pandai juga perlulah berani untuk memperbaiki keadaan masyarakat kita hari ini. Kesepaduan daripada golongan cendikiawan dalam merangka perubahan minda masyarakat kendiri harus disegerakan dan dijelmakan dalam bentuk tindakan yang proaktif. Jangan pula ada masyarakat cerdik kita yang berfikiran endah tak endah, saling bercakaran dan mengamalkan sikap mementingkan diri apabila hanya memerhatikan kelemahan dan ketidaklangsungan bangsa. Harus diingat bahawa perjuangan sesebuah bangsa yang tulen bukan hanya tertumpu kepada satu-satu bidang sahaja tetapi haruslah merangkumi dari semua aspek sosial, ekonomi dan politik. Tiada gunanya jika sesebuah masyarakat hanya maju dalam bidang pendidikan umpamanya tetapi kurang dalam soal politik. Keagungan Tamadun Greek yang lampau adalah kerana penguasaannya dalam bidang sosioekonomi dan politik yang mantap. Begitu juga dengan kekuatan Tamadun Cina keseluruhannya hari ini adalah kerana disulami oleh kekuatan politik dan ekonominya. Justeru, sudah tiba masanya semua golongan dalam masyarakat kita baik yang kaya mahupun yang kurang kaya, yang pintar mahupun yang kurang pintar, rakyat biasa mahupun bukan rakyat biasa, yang berpendidikan mahupun yang kurang berpendidikan supaya berganding bahu untuk bersatu. Saya percaya jika kekuatan kita bersama terus digembleng maka tidak mustahil suatu masa nanti kita akan dapat melihat terjadinya perubahan terhadap bangsa kita. Hanya kebangkitan semangat perjuangan dan kesatuan bangsa serta kekuatan minda untuk bersatu dalam menghadapi apa sahaja rintangan, cabaran dan konflik yang akan menentukan sama ada jatuh atau bangunnya tamadun bangsa kita di masa yang mendatang.
Salam hormat.
DAVID MEJA
18 Ogos 2009

MENCARI TITIK PERTEMUAN


Sayugia diumumkan bahawa penubuhan satu lagi wadah perjuangan orang Kimaragang di Malaysia akan bakal dilancarkan sedikit masa lagi. Jawatankuasa Penaja Pertubuhan ini telah pun dibentuk pada 2 Mei 2009 di Tingkat 13, Hotel Services Beta, WP Labuan. Persetujuan untuk menubuhkan persatuan ini adalah susulan kepada gabungan pemikiran orang-orang Kimaragang yang terdiri dari pelbagai latarbelakang yang bersidang di Torong Soko pada 13 Ogos 2008 yang lalu. Nama persatuan yang dimaksudkan ini ialah PERSATUAN KIMARAGANG MALAYSIA.

Dengan tertubuhnya persatuan ini bermakna Bangsa Kimaragang akan mencipta satu lagi sejarah baru iaitu satu-satunya bangsa di Sabah yang kini mempunyai 3 pertubuhan yang sah setakat ini. Antara persatuan yang sedia ada kini ialah PERSATUAN KIMARAGANG BERSATU SABAH (PKBS) yang telah pun wujud sejak 10 tahun yang lalu dan sebuah lagi pertubuhan yang baru dibentuk pada November 2008 iaitu ALUMNI KIMARAGANG. Selain itu, terdapat juga usaha-usaha murni yang sedang dilakukan oleh sekumpulan pejuang Kimaragang yang menggunakan bidang penulisan alam maya(blog) untuk memperjuangkan bangsa. Keunikan kepada semua persatuan ini adalah kesemuanya berpaksikan kepada satu usaha yang sama iaitu memajukan bangsa dalam semua aspek pendidikan, budaya, politik, ekonomi dan sosial. Tahniah, kepada bangsa ini kerana berjaya menyatukan pemikiran-pemikiran jitu untuk mengangkat martabat bangsa meski pun dalam kumpulan yang berbeza.

Berbincang tentang persatuan ini, saya tertarik dengan satu penulisan yang dibuat oleh seorang penulis blog Kimaragang terkenal yang dimuatkan dalam blognya Suara Bangsa. Beliau menyatakan bahawa "wujud gerakan reformasi yang menyeru untuk bersatu tapi konsepnya kurang tepat. Misalnya, mereka mahu buat persatuan tetapi seolah-olah menafikan "kepelbagaian dalam satu kesatuan" yang ditekankan ialah "kepelbagaian menjadi satu dalam kesatuan". Ada pula cendikiawan yang berpendapat bahawa "kepelbagaian itu adalah penghalang kesatuan". Memang ada benarnya tapi lebih banyak yang tidak benar tentang pandangan ini. Lebih parah lagi apabila ada yang berpendapat bahawa kepelbagaian itu menghalang gerakan perjuangan. Entah apa punya perjuangan yang memerlukan semua orang mesti duduk dalam satu persatuan sahaja. Dan entah apa jenis manusia pandai yang tidak boleh kerja, tidak boleh berbakti kalau tidak melalui persatuan. Ingat, iktikad yang silap atau konsep yang kabur, boleh menjadikan kita hilang arah. Hal inilah yang saya lihat menjadi salah satu sebab yang menghalang perjuangan dalam mana-mana bangsa" Itulah pandangan beliau yang telah lama menarik perhatian saya. Sebenarnya saya amat mengagumi pandangan ini kerana telah lama saya membaca, mendengar dan memperhatikan soal kesatuan namun amat kurang hujah yang menyamai pandangan ini bahkan banyak pertikaian berlaku dalam kepelbagaian persatuan atau kumpulan dalam kebanyakan entiti bangsa yang diperjuangkan yang dinyatakan oleh para penulis lain. Saya sendiri mungkin tergolong dalam kelompok manusia yang berfikiran kurang kritikal dalam hal kepelbagaian(banyak persatuan) kerana fikiran saya masih memikirkan kepada soal ketakutan timbulnya perpecahan sesuatu bangsa bila mana terdapat banyak persatuan yang mungkin boleh bersatu dalam suatu hal namun tidak mungkin dalam kebanyakan perkara.

Persepsi saya tentang hal ini adalah seperti sekumpulan manusia yang ingin pergi ke suatu tempat dengan menaiki kapal yang berbeza dan setiap kapal itu pastinya ada nakhoda dan kelasi masing-masing. Destinasi bagi semua kapal tersebut adalah sama namun tidak mungkin kesemua kapal tersebut sampai pada waktu yang sama kerana setiap kapal itu mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing. Setiap nakhoda kapal pasti mempunyai rancangan tersendiri manakala kelasi-kelasi kapal pula mempunyai pelbagai ragam. Hanya nakhoda yang bijak serta kelasi kelasi kapal yang hebat sahaja yang mampu bertahan melawan ribut dan badai lautan dan akhirnya sampai ke destinasi. Bagi kapal yang lemah segala-galanya pasti akan kecundang di tengah perjalanan. Jadi, dalam hal ini hanya sekelompok sahaja yang selamat manakala yang lainnya gagal diselamatkan walaupun dari satu kumpulan yang sama. Kepelbagaian persatuan bagi satu bangsa juga menimbulkan kebimbangan di dalam fikiran saya bila mana timbulnya persaingan negatif dalam memperjuangkan bangsa. Saya cuba untuk menangkis kebimbangan ini namun naluri hati tetap berbisik bahawa setiap manusia pada hakikatnya adalah berbeda. Tidak mungkin hati dan perasaan setiap orang dapat disatukan. Setiap persatuan pastinya menginginkan pengiktirafan dalam usaha mencapai matlamat yang digariskan. Saya tidak dapat membayangkan jika suatu hari nanti semua persatuan orang kimaragang ini akan menganjurkan Pesta Kaamatan mereka masing-masing demi untuk mencapai matlamat masing-masing. Ketidakpastian di kalangan masyarakat kimaragang sendiri dalam menilai persatuan mana satukah yang sebenarnya mewakili mereka juga pastinya akan timbul. Pimpinan kerajaan juga pastinya akan bingung dan tertanya-tertanya yang mana satukah persatuan sebenar orang kimaragang jika semua persatuan ini nanti masing-masing menuntut sesuatu isu kepada kerajaan.

Justeru, ketika perbincangan untuk menubuhkan sebuah lagi persatuan kimaragang baru-baru ini saya telah memberikan beberapa pandangan yang bertentangan dengan rakan-rakan seperjuangan ketika itu. Saya menyatakan bahawa penubuhan persatuan ini wajar untuk diteliti sedalam-dalamnya terlebih dahulu. Persatuan sedia ada telah pun wujud dan tiada salahnya jika kita menghampiri kepimpinan persatuan ini dan berbincang soal ketuanan bangsa. Memang benar dakwaan sesetengah rakan bahawa persatuan yang ada agak lemah kerana tiada usaha-usaha lain yang diketengahkan selain dari menganjurkan Kaamatan saban tahun. Namun saya melihat kelemahan ini tetap boleh diperbaiki jika setiap kita yang merasakan kelemahan pada persatuan ini melibatkan diri dan menyampaikan idea-idea yang dirasakan boleh mengukuhkan lagi persatuan ini. Jika kita berpandangan bahawa kelemahan persatuan ini kerana pemimpinnya yang tidak berfungsi maka kita seharusnya boleh membuat teguran dengan cara yang profesional atau mempraktikkan amalan demokrasi dalam persatuan dengan cara menawarkan diri untuk bertanding dalam pemilihan pemimpin kerana persatuan ini adalah milik semua dan bukannya eksklusif kepada seseorang individu sahaja.

Bagaimana pun, saya juga merasakan bahawa pendapat yang dinyatakan oleh Suara Bangsa itu ada benarnya. Kepelbagaian persatuan tidak semestinya akan menghalang perjuangan terhadap bangsa ini jika semua nakhoda dan kelasi-kelasi ketiga-tiga persatuan ini atau ada lagi pertambahan suatu masa nanti dapat membulatkan hati dan perjuangan, bersatu dalam kepelbagaian (Unite in Diversity) dan melempar jauh sikap sombong, ego dan saling memburuk-burukkan antara satu dengan lain. Mungkin sudah sampai waktunya kita harus menerima dan membuka minda kita terhadap konsep perjuangan sebegini. Terlintas juga di fikiran saya bahawa lebih banyak persatuan maka lebih banyaklah huguan siou kita dan maka itu tiada lagi alasan mengapa bangsa ini sukar bangkit dari kepompong kesederhanaan berbanding dengan bangsa lain. Adalah diharapkan dengan wujudnya banyak persatuan pada bangsa ini maka suatu hari nanti kita akan menyaksikan berdirinya seorang Menteri yang berbangsa Kimaragang di bumi Malaysia, lahirnya beberapa jutawan Kimaragang di seluruh Nusantara dan wujudnya golongan-golongan profesional Kimaragang yang ada dimana-mana sudut dunia.

Harapanku juga, kepada pejuang-pejuang bangsa yang berjuang di luar lingkungan persatuan agar dapat menyatukan hati nurani yang ikhlas kepada masyarakat ini dengan memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada saf kepimpinan Kimaragang (semua persatuan). Janganlah pula kita asyik menyalahkan persatuan-persatuan ini sahaja jika berlakunya kekurangan tetapi harus meyumbangkan buah fikiran yang dinamik serta berinovasi demi survival bangsa Kimaragang. Marilah kita mencari titik pertemuan yang sebenar (miiso o ginawo) dalam perjuangan membela bangsa tercinta ini. Tekad dan keikhlasan para Kepala Pejuang semua persatuan Kimaragang ini semestinya wajar diazimatkan di dalam hati sanubari masing-masing agar kepentingan bangsa akan dapat mengatasi kepentingan diri. "Sumintor Tokou".

Nota: Tahniah kepada Persatuan Kimaragang Bersatu Sabah (PKBS) kerana berjaya mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada 05 Mei 2009 di Torong Soko.









TAHNIAH BUAT SABAH


Setinggi-tinggi tahniah buat Sabah kerana Kabinet Rakyat yang ditunggu-tunggu oleh semua rakyat akhirnya telah pun dibentuk oleh YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Sekaligus, kabinet kali ini agak menyenangkan pemikiran seluruh rakyat negeri Sabah kerana buat julung kalinya sebanyak 4 Menteri penuh dan 4 Timbalan Menteri telah dianugerahkan kepada Sabah. Ini merupakan satu sejarah terbaik yang pernah berlaku dalam sistem politik negara amnya dan Negeri Sabah khasnya. Justeru, saya juga mengucapkan terima kasih buat PM yang baru ini kerana beliau telah memikirkan jalan yang terbaik dalam memenuhi permintaan oleh ahli politik dan juga keseluruhan rakyat Sabah. Syabas dan Tahniah juga diucapkan kepada warga Sabah yang telahpun terpilih menganggotai Kabinet baru ini.


Datuk Dr. Maximus J. Ongkili :
Menteri Sains Teknologi dan Inovasi

Tan Sri Bernard G. Dompok:
Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi

Datuk Anifah Aman:
Menteri Luar Negeri

Datuk Seri Shafie Afdal:
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah


Datuk Abdul Rahim Bakri : Timbalan Menteri Pengangkutan
Tan Sri Jospeh Kurup: Timbalan Menteri Sumber asli dan Alam Sekitar
Datuk Rosnah Rashid Shilin: Timbalan Menteri Kesihatan
Datuk Lajim Hj. Ukin: Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan



Tahniah dan Bravo! sekali lagi buat semua Yang Berhormat kerana telah pun terpilih. Dari sudut pandangan peribadi, semua posisi yang telah pun diberikan ini memang sangat penting dan pastinya akan membawa perubahan yang positif kepada negeri Sabah sendiri. Sebenarnya, cabaran yang sangat besar telah pun menanti para Menteri dan Timbalan Menteri yang dilantik ini untuk benar-benar menggunakan kelebihan, kesempatan dan kuasa yang ada untuk membawa perubahan kepada Sabah. Saya juga merasakan bahawa inilah masanya untuk mengubah lanskap pembangunan di seluruh pelosok negeri. Para Menteri ini juga harus berani mengambil kesempatan untuk melantik warga Sabah yang berkaliber untuk menjawat jawatan-jawatan penting di Kementerian masing-masing. Saya percaya bahawa dengan cara ini maka rakyat akan lebih terbela dan akan menikmati kehidupan yang lebih baik.

Akhirnya, rakyat juga akan menanti sikap dan reaksi para menteri ini setiap masa. Persoalan yang timbul pula adalah: apakah mereka yang dilantik ini bersedia memikul dan menggalas tanggungjawab yang besar untuk membawa pembangunan yang lebih berkesan di Sabah atau adakah mereka ini akan menggunakan kesempatan yang ada untuk memajukan diri dan keluarga masing-masing(kroni)?. Kita Tunggu Dan Lihat Saja.......sekian.



SEKALI LAGI RAKYAT BORNEO PENYELAMAT MARUAH BN


  • Debaran PRK di ketiga-tiga kawasan nampaknya sudah berakhir. Kesudahan dari persaingan politik antara BN dan PR akhirnya terjawab juga. Kalau difikirkan PRK kali ini tidaklah sepenting Pilihan raya 8 Mac yang lalu kerana ia tidak akan membawa kepada perubahan sistem politik di semua kawasan yang terlibat. Namun begitu, kedua-dua gabungan politik negara ini sudah pasti telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menang kerana mereka mempunyai motif yang mana semua orang sudah ketahui. Bagi pihak BN, mereka sudah pasti akan cuba merampas Kerusi Parlimen Bukit Gantang kerana untuk membuktikan bahawa rakyat menerima perubahan dalam Kepimpinan UMNO dan negara baru-baru ini serta merestui tindakan mereka menguasai Kerajaan Negeri Perak sebelum ini. Manakala di pihak PR pula mereka sudah tentu bertungkus lumus untuk mengekalkan Kerusi Parlimen Bukit Gantang demi untuk membuktikan bahawa mereka masih mendapat sokongan rakyat Perak lebih-lebih lagi orang yang dicalonkan itu adalah bekas Menteri Besar Perak yang telah dilabel oleh BN sebagai penderhaka kepada Sultan. Manakala di Bukit Selambau pula, BN (MIC) sudah pasti berhempas pulas kerana mereka juga ingin mendapatkan isyarat sama ada mereka kini masih relevan ataupun semakin parah. DUN Batang Ai juga tidak kurang pentingnya kerana kemenangan dalam PRK ini sudah pasti akan menunjukkan bahawa pengaruh PR di negeri ini semakin bersinar atau tidak, sekali gus akan mencerahkan harapan PR untuk menawan Sarawak yang bakal mengadakan Pilihanraya Negeri dalam setahun dua lagi. Kemenangan BN pula amat penting kerana keputusan ini sudah pasti akan menunjukkan samada mereka kekal relevan atau tidak di kalangan masyarakat iban yang terkenal dengan masalah tanahnya di kawasan ini, sekaligus akan menunjukkan bahawa perubahan politik di Semenanjung akan mula menjalar di Kepulauan Borneo.
  • Apapun keputusan PRK ini telahpun diketahui lewat jam 10.00 malam semalam. Seperti yang dijangkakan oleh kebanyakan pemerhati politik, Pakatan Rakyat telah memenangi 2 daripada 3 pertarungan yang diadakan dan BN sekadar memenangi Kerusi DUN Batang Ai. Ini sekali gus telah memberikan jawapan kepada semua persoalan motif yang dipertaruhkan oleh kedua-dua pihak di atas. Maka selepas ini, terpulanglah kepada mereka samada keputusan ini adil bagi mereka atau pun tidak.
  • Dalam konteks pilihanraya yang ke sekian kalinya ini, maka kerajaan BN wajar memberikan pengiktirafan yang amat tinggi kepada rakyat di Kepulauan Borneo kerana sekali lagi mereka telah menyelamatkan maruah BN di arena politik negara. Selain sumbangan besar Sabah dan Sarawak dalam Pilihanraya Umum ke 12 yang lalu dimana ini membolehkan (Kalau semua MP Sabah & Swak tidak bersama BN sudah pasti PR sudah menjadi Kerajaan Malaysia) BN sekali lagi dapat berkuasa dengan majoriti mudah di negara ini, kali ini juga kemenangan di DUN Batang Ai telah menjadi penawar duka buat kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri yang baru, Datuk Seri Najib Tun Razak. Dengan kemenangan BN di Batang Ai ini, sudah pasti PM yang baru boleh menarik nafas lega kerana kebanyakan rakyat di Kepulauan Borneo ini masih belum (Tidak diketahui sampai bila?) menerima tempias tsunami politik pembangkang di Tanah Besar Malaya. Dalam hal ini, Sewajarnyalah Pimpinan BN harus memberikan tabik buat rakyat di DUN Batang Ai yang majoritinya masyarakat iban kerana masih menutup rapat pintu kemasukan semangat Parti Keadilan Rakyat di Sarawak kerana rata-rata penganalisis berpendapat bahawa jika sekiranya PR menang di Batang Ai maka ini sudah tentu akan menjadi titik permulaan penguasaan politik PR di seluruh Sarawak dan juga Sabah.

  • Justeru, harapan dari seluruh manusia di Kepulauan Borneo ini sudah tentunya menanti satu perubahan yang besar dalam pentadbiran kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri yang baru. Perlantikan barisan kabinet yang baru ini bakal diumumkan oleh PM sendiri. Maka sudah sampai waktunya PM yang baru ini akan memberikan pengiktirafan dari peranan penting yang dimainkan oleh rakyat di kedua-dua buah negeri yang amat terkenal dengan kemiskinan, kedaifan dan infrustruktur yang jauh terkebelakang berbanding di Semenanjung dengan cara melantik ramai pemimpin dari negeri-negeri ini untuk membarisi kabinet baru beliau. Selain itu juga, rakyat di kepulauan ini masih lagi menunggu impak daripada kedua-dua Bajet Rangsangan Ekonomi yang diwar-warkan oleh kerajaan. Akhirnya, kerajaan hari ini harus sedar bahawa sokongan rakyat bukanlah satu medium yang hanya digunakan untuk mengambil kesempatan daripada terus berkuasa tetapi harus digunakan seluas-luasnya untuk berkhidmat selagi ada kesempatan.

Part II






Kesuraman Politik Malaysia







Pergolakan politik semasa negara nampaknya tiada berkesudahan. Tanda-tanda kestabilan yang diharapkan tampaknya tidak kunjung tiba jua. Dari hari ke hari polemik politik yang runcing semakin mewarnai lanskap politik negara. Dikala Hillary Clinton yang merupakan pesaing politik Presiden Obama ketika pilihanraya dulu kini sibuk dengan agenda pemulihan ekonomi Amerika dan dunia, pemimpin negara kita pula tidak kira pihak kerajaan mahu pun pembangkang masih sibuk dengan agenda politik masing-masing. Dari tinjauan rambang yang dibuat, rakyat jelata kini sudah terlalu muak dengan karena politikus-politikus negara yang nampaknya tidak pernah bosan dengan dunia permainan politik mereka sendiri. Mereka semuanya bagaikan hanyut dibuai oleh mimpi-mimpi indah namun rakyat yang meletakkan mereka di tahap yang mereka impikan kini semakin dilupakan. Politikus-politikus Yang Berhormat ini seringkali menuntut pengorbanan di kalangan rakyat sendiri namun segala pengorbanan yang diberikan oleh rakyat nyata tidak dihargai. Hak-hak rakyat yang mutlak tidak lagi dipandang tinggi dan hanya dijadikan sebagai satu permainan politik atas nama undang-undang, demokrasi berperlembagaan dan kesetiaan kepada Raja. ”Entah apa dah jadi dengan sistem politik Malaysia hari ini” kata seorang teman yang sudah bingung dengan senario politik yang berlaku dalam negara akhir-akhir ini. Semua keputusan yang dibuat oleh rakyat sendiri sudah tidak lagi menjamin apa yang mereka hendakkan. ”Jadi, kalau begini rakyat tidak perlu lagi melakukan apa-apa kerana apa yang mereka lakukan tidak juga bererti” kata seorang pengulas kedai kopi yang famous di sebuah pekan kecil yang dahagakan perubahan.



Aku melompat demi untuk Rakyat Bota....Datuk Nasarudin Hasyim





Tidak pun reda suasana politik negara dalam dua siri pilihanraya kecil yang lalu maka tiba-tiba negara digemparkan lagi dengan kekecohan yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan Perak Darul Ridzuan. Tiba-tiba sahaja kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat yang menang dalam pilihanraya umum yang lalu kini bertukar tangan kepada pemerintah yang baru iaitu Barisan Nasional yang dipilih oleh Ke bawah Sultan Perak. Realitinya, ini semua bermula akibat satu drama lompat melompat yang dimainkan oleh politikus-politikus yang tidak konsisten dalam perjuangannya. Entah apa sebenarnya yang berlaku sehingga peristiwa ini akhirnya mencipta satu lagi sejarah pahit negara kerana sebuah kerajaan yang bertuankan rakyat akhirnya jatuh jua ke tangan kerajaan yang bertuankan demokrasi berperlembagaan. Namun era baru yang dinikmati oleh rakyat perak ini tidak berhenti setakat ini sahaja kerana apa yang mewarnai corak politik Perak akan datang lebih sukar untuk dijangkakan. Peristiwa terbaru yang berlaku setakat ini adalah penggantungan MB dan enam Exco Perak yang baru daripada menghadiri sidang DUN Perak oleh Speaker V. Sivakumar. Banyak spekulasi yang timbul akibat tindakan drastik ini namun pemerhati politik yakin bahawa ini adalah satu lagi bentuk responsif yang timbul akibat kekalutan politik di Perak itu sendiri. Walau apapun, pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gantang di Perak, DUN Bukit Selambau di Kedah dan DUN Batang Ai di Sarawak yang tidak dijangka akan berlaku sebelum ini bakal akan menjadi satu lagi perhitungan terakhir antara dua seteru politik yang hebat ini. Pemerhati, Pengulas dan Penganalisis politik berpendapat bahawa jika kuasa rakyat masih dihormati di negara ini maka kedua belah pihak haruslah menjadikan pilihanraya ini sebagai medan untuk membuktikan kehebatan masing-masing. Dalam masa yang sama jika pilihanraya ini dijalankan secara adil dan saksama maka pilihanraya ini wajib dijadikan sebagai Mahkamah Rakyat yang tulen. Justeru, apa saja keputusan yang dicapai oleh para hakim dalam mahkamah ini haruslah diterima oleh semua pihak tanpa prejudis. Yang menang biarlah menang dan yang kalah jangan lagi berdalih

”Wahai pemimpinku, sudah-sudahlah dengan bermain politik” kata seorang penulis blog yang sempat ku baca. ” Dulu si samseng melawan si pengecut. Nah sekarang ni baru kamu tahu kalau samseng lawan samseng” kata seorang pemberi komen yang setia dalam blog tersebut yang merujuk kepada perkembangan muktahir di Perak. Saya sempat juga tertawa sendiri apabila membaca semua itu. Namun kemudiannya, minda sempat juga terfikir mungkinkah semua pernyataan ini merujuk kepada pemimpin-pemimpin kita yang bercakaran. Jika andaian ini benar adanya maka inikah rupa pemimpin kita selama ini yang sentiasa menyeru agar rakyat berubah kepada golongan yang mempunyai minda kelas pertama seperti yang disarankan sendiri oleh Perdana Menteri yang tercinta Datuk Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi. Apakah dimensi politik bercelaru yang dimainkan oleh kedua-dua hulubalang-hulubalang ini menuju kepada tahap pemikiran minda kelas pertama yang dicanangkan?. Saya fikir, asimilasi politik primitif ini tidak harus menjadi satu anutan kepada bakal ahli politik Malaysia jika perpaduan, keharmonian dan mencapai status tamadun tinggi negara yang ingin dijadikan modal dalam perjuangan.

Hentikan soal politik dan fikirlah soal ekonomi....demi untuk Bangsa Malaysia.

Gambar ini diambil tanpa izin dari blog TULUN KIMARAGANG. Untuk paparan keadaan ekonomi rakyat yang tidak diperhatikan.

siapa yang peduli hidup kami....



Pemimpin Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat disarankan agar dapat melaksanakan satu transformasi baru dalam sistem politik negara demi untuk keutuhan rakyat jelata yang perlukan perhatian segera. Krisis ekonomi global sebenarnya lebih penting untuk ditangani berbanding soal politik yang sudahpun ditentukan oleh rakyat Malaysia pada 8 Mac yang lalu. Apa lagi sebenarnya yang ahli politik hendakkan sekarang?. Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri masing-masing telahpun dibentuk. Rakyat telah pun menjalankan kewajipan untuk memilih kerajaan. Jadi apa lagi sebenarnya yang menjadi masalah kepada kerajaan mahupun pembangkang ?. Tidak Sabarkah untuk menunggu 4 tahun lagi untuk bertarung di padang demokrasi sebenar? Seharusnya tumpuan sekarang ini harus lebih banyak ditumpukan kepada soal pemulihan ekonomi rakyat yang telah pun terjejas teruk akibat ketirisan pemikiran manusia dalam menguruskan ekonomi sejagat. Pihak kerajaan yang dipilih secara muktamad oleh rakyat harus bertanggungjawab memberikan kebajikan kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan idealogi politik. Mereka harus turun padang melihat segala permasalahan dan kesulitan yang dihadapi oleh rakyat dan bukannya sibuk bermain politik. Sedar atau tidak, keadaan rakyat bawahan kini semakin teruk kerana golongan inilah yang paling banyak menerima kesan ketidakstabilan ekonomi. Situasi golongan ini menunjukkan bahawa mereka tidak menerima langsung manfaat pakej ekonomi yang dibuat oleh kerajaan. Sebagai contohnya, penduduk biasa yang ingin menjual hasil tanaman ke pekan terpaksa membayar tambang yang tinggi apabila menaiki bas dan dalam masa yang sama harga tanaman yang ingin dijual masih rendah walhal harga barangan keperluan harian di kedai pula semakin tinggi. Begitu juga dengan rakyat yang terlibat dengan perladangan komoditi seperti padi, getah dan kelapa sawit yang kini berhadapan dengan peningkatan harga baja yang melampau sedangkan nilai pasaran semasa komoditi ini semakin rendah. Harga bahan-bahan penghasil makanan ini terus meningkat saban hari dan pendapatan petani pula semakin terjejas teruk.





Justeru, keadaan ini tidak harus dibiarkan oleh kerajaan dan pimpinan pembangkang. Bukankah inilah masanya untuk semua pemimpin menunjukkan rasa terima kasih mereka kepada rakyat yang sudahpun memilih mereka dengan menunjukkan komitmen yang tinggi untuk memulihkan keadaan ekonomi yang membebankan rakyat?. Lebih-lebih lagi apabila petunjuk ekonomi semasa masih menunjukkan trend pembangunan ekonomi yang amat perlahan (Laporan dalam Personal Money Jan 2009). Rakyat biasa berpendapat bahawa jika sekiranya semua pemimpin di negara ini dapat berkompromi menggembleng tenaga dan fikiran untuk mengatasi kesulitan ekonomi semasa maka permasalahan rakyat sedikit sebanyak akan dapat dikurangkan.

CABARAN YANG KIAN MENCABAR



  • 2008 merupakan tahun yang tidak harus dilupakan oleh masyarakat dunia. Banyak sejarah telah tercipta yang mana ianya mungkin kekal dalam lipatan sejarah sejagat. Amerika Syarikat yang merupakan arkitek kepada landskap perubahan dunia umpamanya sekali lagi telah menyaksikan dan membuktikan kepada dunia bahawa mereka mampu melahirkan seorang Presiden di luar kebiasaan iaitu Barrack Obama lelaki terhebat yang dinobatkan sebagai Person of The Year oleh Times Magazine. Di China, mereka boleh berbangga kerana sukan Olympic berjaya dianjurkan dengan penuh gilang gemilang di Stadium Sarang Burung yang hebat senibinanya. Pada awalnya banyak pihak cuba mempertikaikan kemampuan China untuk menganjurkan sukan paling berprestij itu tetapi akhirnya mereka membuktikan satu penganjuran yang terhebat di abad ini sehinggakan tiada satu pun negara-negara di dunia ini yang menafikan kejayaan mereka. 2008 juga telah mengukir satu sejarah yang tidak mungkin dilupakan oleh rakyat Malaysia dimana satu perubahan besar telah berlaku dalam sistem politik negara ini. Perubahan yang digelar sebagai tsunami politik ini dibuktikan dengan jatuhnya 5 buah negeri di Malaysia ke tangan gabungan pembangkang yang dipimpin oleh The De Fecto of PKR, Dato Seri Anwar Ibrahim. Ini adalah satu-satunya sejarah perubahan senario politik yang amat menakjubkan dalam tempoh 50 tahun kewujudan sistem politik di Malaysia.
  • Permulaan 2009 juga tidak banyak memberikan harapan kepada penduduk dunia umumnya dan masyarakat Malaysia khasnya. Pakar-pakar ekonomi sedunia telah menjangkakan kemungkinan berlakunya kegawatan ekonomi yang lebih parah dan mencabar adanya berbanding tahun-tahun kemelesetan sebelumnya. Ketidakstabilan politik di Malaysia pula meyumbang kepada kegoyahan ekonomi negara sekaligus menghimpit kehidupan masyarakat keseluruhannya. Kehidupan masyarakat di bandar metropolitan hatta di pelosok kampung sekali pun mula menerima bahang kegawatan ekonomi global yang tiada siapa pun dapat meramalkan bilakah ianya akan berakhir. Tambah menggusarkan lagi, Perang Gaza yang sedang berlangsung ketika ini banyak mencuri tumpuan pemimpin-pemimpin dunia termasuklah Malaysia untuk memikirkan jalan penyelesaian kepada kemelut ekonomi sejagat. Masa mereka kini lebih banyak tertumpu kepada soal penyelesaian kemelut kemanusiaan masyarakat Palestin. Bagaimana pun, diharapkan pelan damai dan gencatan senjata yang telah dirangka oleh badan dunia(PBB) akan dapat dicapai sekali gus dapat mengurangkan prioriti pemimpin warga sedunia kepada soal Palestin dan kesempatan akan lebih banyak tertumpu kepada isu-isu global yang dapat menyelamatkan masyarakat dunia keseluruhannya.
  • Kepimpinan dalam aspek pentadbiran kerajaan di Malaysia pada hari ini juga dilihat oleh kebanyakan pemerhati politik sebagai sesuatu yang telah menemui jalan buntunya. Sejak PRU ke -13 yang lalu, banyak kepincangan telah berlaku. Senario politik misalnya masih lagi hangat dibicarakan baik di kalangan pemimpin mahupun mereka yang dipimpin. Penganalisis politik melihat bahawa kerajaan yang dipelopori oleh BN pada hari ini agak rapuh dan tidak lagi dapat memberikan keyakinan kepada rakyat seperti sebelumnya. Selain prestasi terburuk parti pemerintah dalam PRU yang lalu, kegagalan kerajaan mengekalkan penguasaan 2/3 di parlimen dan kekalahan berganda dalam dua siri pilihanraya kecil yang baru sahaja diadakan seolah-olah memberi petanda bahawa rakyat sudah kehilangan keyakinan terhadap kerajaan yang dipimpin oleh Pak Lah. Sekali gus, ini telah memberikan gambaran bahawa kerajaan sukar untuk bangkit semula apatah lagi untuk menyelesaikan masalah kemelut ekonomi negara yang semakin membimbangkan rakyat.
  • Landskap ekonomi Malaysia pastinya banyak dipengaruhi oleh sistem politik. Pertumbuhan ekonomi yang mapan hanya akan meningkat bila adanya sistem politik yang stabil. Namun keadaan ekonomi dalam negara ketika ini seperti ada pasang surutnya. Kerajaan mengatakan bahawa ekonomi negara masih di tahap yang stabil. Manakala di pihak pembangkang pula adalah disebaliknya. Ironinya, masyarakat di akar umbi sudah terasa perubahan ekonomi yang gawat. Apa tidaknya, pemacu kepada ekonomi negara ini yakni para pemimpin sendiri kurang menumpukan perhatian kepada soal ini kerana mereka lebih tertumpu kepada soal politiking. Pakej Rancangan Ekonomi 7 Billion yang diumumkan oleh bakal Perdana Menteri Malaysia juga tidak lebih dari sekadar perhiasan pasca pentadbiran legasi Abdullah dan merupakan momentum awal yang dikemukakan oleh bakal orang nombor satu negara Mac ini. Entah dimana silapnya, sehingga kini rakyat masih ternanti-nanti kesudahan beberapa agenda kerajaan yang diwar-warkan lewat Rancangan Malaysia Ke-9, NCER, WPI, SDC Sabah, SDC Sarawak (sekadar menyebut beberapa plan) yang masih belum menampakkan kesannya sehingga kini. Mungkin juga inilah sebabnya rakyat berada di persimpangan dilema untuk memberikan kepercayaan kepada kerajaan lantas beralih arah kepada pihak pembangkang seperti yang dibuktikan oleh penduduk P 36 Kuala Terengganu pada 17 Januari yang lalu. Jika keadaan ini berterusan, maka kerajaan mungkin berhadapan dengan laluan sukar untuk memulihkan ekonomi negara yang sarat. Seterusnya ini akan memberikan lagi tekanan dan cabaran yang amat besar kepada rakyat keseluruhannya.
  • Cita-cita pihak pembangkang untuk mengambilalih Putrajaya juga seakan-akan menambahkan lagi kekeruhan yang ada. Dalam hal ini, para pelabur asing (FDI) yang menjadi nadi kepada pembangunan negara selama ini juga mengambil sikap tunggu dan lihat. Sekali gus, ini akan menghalang dan melambatkan proses pertumbuhan ekonomi semasa negara. Sektor industri perkilangan misalnya sudah mula mengurangkan kos operasi sehingga banyak pekerja yang diberhentikan oleh majikan. Baru-baru ini sahaja, saya telah melawat keluarga saya yang menjadi agen pembekal pekerja di kilang-kilang di Semenanjung Malaysia mengatakan bahawa permintaan terhadap pekerja- pekerja dari Sabah mula merundum disebabkan oleh kegawatan ekonomi ini. Tidak kurang juga ramai saudara mara kita yang bekerja di sana sudah mula berpusu-pusu balik ke kampung halaman dan memulakan hidup baru. Implikasi daripada perkembangan ini sudah pasti akan menyaksikan peningkatan kepada kadar pengangguran dalam negara. Seterusnya bila keadaan ini berlanjutan maka ia akan membawa dampak yang lebih buruk terhadap situasi sosial negara.

akan bersambung.....

Terbitan ini hanyalah pandangan peribadi yang tulen dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

Part 2: Meniti Kejayaan


Penghujung tahun 2008 sememangnya membawa erti yang tersendiri bagi diri saya. Ini kerana, saya sekali lagi dapat bertemu dengan En. Loh iaitu individu yang telah saya ceritakan dalam part yang pertama. Kali ini, kami telah bertemu di sebuah restoran di tengah-tengah Bandaraya Kota Kinabalu yang semakin tersergam indah. Seperti biasanya, En. Loh telah pun menunggu saya lebih dulu di restoran itu walaupun kali ini sebenarnya saya datang tepat pada waktu yang dijanjikan. Di dalam restoran itu, kami juga dapat berbual-bual panjang tentang kehidupan sambil menikmati makanan yang ditempah lebih awal oleh beliau. Banyak juga manfaat yang saya terima daripada perbualan kami itu kerana kali ini saya sempat mengetahui latarbelakang keluarga dan kejayaan beliau. Sebenarnya saya sangat bersyukur kepada Tuhan kerana dipertemukan dengan seorang individu yang sangat merendah diri walaupun dirinya lebih daripada orang lain. Daripada apa yang beliau ceritakan, dia dan isterinya bermula dengan berniaga menjual daging secara kecil-kecilan dari tamu ke tamu sekitar awal tahun 80 an. Oleh kerana perniagaannya memerlukan dia berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain maka dia menambah satu lagi perniagaan iaitu menjadi pengedar tong gas kerana ketika itu penggunaan tong gas baru sahaja bermula. Beliau menceritakan bahawa dengan cara itu maka sumber pendapatannya telah bertambah kerana dalam masa yang sama beliau menjalankan dua perniagaan yang berbeza. Setelah mengumpulkan modal, maka beliau melebarkan lagi sayap perniagaannya dengan membuka sebuah restoran di Pekan Tamparuli di mana ia masih lagi beroperasi sehingga kini. Di pendekkan cerita, hasil daripada perniagaannya itu maka beliau telah membeli beberapa buah rumah, tanah dan lot-lot kedai di beberapa tempat di Sabah. Beliau juga merupakan pemilik kepada Taman Buaya dan juga Restoran Oriental yang berada di jalan shortcut Sepanggar Tuaran. Begitulah sebahagian kecil daripada kejayaan besar yang diceritakan beliau kepada saya dalam pertemuan itu. Kemungkinan besar masih lagi terdapat kejayaan lain yang tidak sempat kami bualkan. Walaupun begitu, cerita itu sudah cukup memberikan gambaran sebenar tentang beliau dan keluarganya yang sudah menikmati kesenangan hidup hasil daripada jerih payah mereka sendiri pada hari ini. Sebelum kami berpisah beliau juga sempat menasihati supaya jangan mudah berputus asa dalam apa jua yang dilakukan, Beliau berpandangan bahawa kejayaan memang bukan mudah untuk dicapai namun semua orang berpeluang untuk menikmati kejayaan asalkan ada kemahuan yang disertai dengan kebijakan dan kesabaran.

Meniti Kejayaan


Part 1
Tiada jalan mudah untuk mencapai kesenangan di dunia ini. Begitulah kata-kata pengenalan yang dapat saya perolehi daripada seseorang yang sudah mencapai tahap 'enjoy time' dalam hidupnya. Beliau adalah En.Loh Khiong Foh yang begitu mudah untuk berkongsi pengalaman hidup meskipun beliau adalah seorang yang silence billionare. Mungkin tidak ramai yang tahu tentang beliau tetapi di daerah kelahirannya beliau sememangnya amat dikenali di kalangan masyarakat perniagaan kaum cina. Pernah tidak berapa lama yang lalu, saya telah mengunjungi beliau di Pekan Tamparuli atas urusan perniagaan yang kecil-kecilan dengan beliau. saya sampai di sana sekitar jam 7 malam walaupun saya telah berjanji hendak menemui beliau pada jam 6 petangnya. pada mulanya saya agak risau juga kerana sudah terlewat dalam temujanji itu. Namun kerisauan itu hampir lenyap takkala ketibaan saya pada waktu itu beliau sambut dengan penuh mesra dan layanan yang tidak pernah saya terima daripada seseorang sebelum ini. Dalam pertemuan yang singkat itu, beliau membawa saya menjamu selera di sebuah restoran cina yang sangat padat dengan pelanggan. ketika kami masuk di ruangan dalam restoran itu semua orang melihat kearah saya tetapi saya tidak hiraukan situasi itu meskipun timbul banyak persoalan dalam benak fikiran saya. Ketika En. Loh pergi ke tandas restoran itu, tiba-tiba ada seorang costumer menegur saya dan bertanya apakah hubungan kami. Dengan pantas maka saya menyatakan bahawa kami cuma kawan biasa saja. Tanpa ditanya, costumer itu menyatakan bahawa En. Loh merupakan seorang tokoh perniagaan di pekan ini. Rupa-rupanya, restoran tempat kami menjamu selera itu juga milik beliau dan terdapat beberapa buah kedai lagi di pekan itu. Sebenarnya saya tidak menyangka bahawa restoran itu adalah milik beliau. Selepas kami makan maka beliau membawa saya ke rumah beliau yang berada di atas sebuah bangunan yang juga miliknya di mana BSN telah pun beroperasi di situ sejak 18 tahun yang lalu. Di rumahnya kami juga bercerita-cerita dan saling mengenal. Selepas itu, maka saya pun balik ke Kota Marudu dengan beribu-ribu persoalan di minda yang menganalisis kejayaan En. Loh dalam bidang hartanah.
Part II akan menyusul..

Mutiara kata 2009


Ketika satu pintu kebahagian tertutup, pintu yang lain dibukakan tetapi sering kali kita terpaku terlalu lama pada pintu yang tertutup, sehingga tidak melihat pintu yang dibukakan bagi kita.
Dalam hidup terkadang kita lebih banyak mendapatkan apa yang kita tidak inginkan dan ketika kita mendapatkan apa yang kita inginkan akhirnya kita tahu bahawa yang kita inginkan tidak dapat membuat hidup kita menjadi lebih bahagia.
Bermimpilah tentang apa yang ingin kamu impikan, pergilah ke tempat tempat yang kamu ingin pergi. Jadilah seperti yang kamu impikan kerana kamu hanya memiliki satu kehidupan dan satu kesempatan untuk melakukan hal-hal yang ingin kamu lakukan.
Masa depan yang cerah berdasarkan masa lalu yang telah dilupakan. kamu tidak dapat melangkah dengan baik dalam kehidupan kamu sampai kamu melupakan kegagalan kamu dan rasa sakit hati.
Dunia ibarat lautan yang luas, kita adalah kapal yang berlayar dilautan yang telah banyak kapal karam didalamya. Andai muatan kita adalah iman dan layar tawakal, nescaya kita akan selamat dari tersesat dalam lautan hidup kita.
Dalam masyarakat manusia ada binatang jalang tapi dalam masyarakat binatang tidak ada manusia jalang.
Waktu kita lahir, kita menangis dan orang-orang di sekeliling kita tersenyum. Jalanilah hidup kita sehingga pada waktu kita meninggal, kita tersenyum dan orang-orang di sekeliling kita menangis.
Tanda-tanda orang yang budiman adalah dia akan merasa gembira jika dapat berbuat baik kepada orang lain dan dia akan merasa malu apabila menerima kebaikan orang lain.
Kata-kata itu sebenarnya tidak mempunyai makna untuk menjelaskan perasaan. Manusia boleh membuat seribu kata-kata , seribu bahasa tetapi kata-kata bukan bukti unggulnya perasaan.
Akal itu mentari yang menasihati, Hati itu adalah raja yang menentukan, Harta itu suatu tamu yang akan berangkat, Kesenangan itu masa yang ditinggalkan.
Orang yang bahagia itu akan selalu :
Menyediakan waktu untuk membaca, kerana membaca itusumber hikmah.
Menyediakan waktu tertawa, kerana tertawa itu muziknya.
Menyediakan waktu berfikir, kerana berfikir itu pangkal kemajuan.
Menyediakan waktu untuk beramal mulia, kerana beramal itu pangkal kejayaan.
Menyediakan waktu untuk bergurau, kerana bergurau itu akan membuat mudah selalu.
Menyediakan waktu untuk beribadah kerana beribadah adalah ibu segalah ketenangan jiwa.
Happy New Year 2009 dari saya dan seisi keluarga.