My Dream

welcome

Lorem Ipsum is simply dummy text of the printing and typesetting industry. Lorem Ipsum has been the industrys standard dummy text ever since the 1500s, when an unknown printer took a galley of type and scrambled it to make a type specimen book. It has survived not only five centuries, but also the leap into electronic typesetting, remaining essentially unchanged. It was popularised in the 1960s with the release of Letraset sheets containing Lorem Ipsum passages, and more recently with desktop publishing software like Aldus PageMaker including versions of Lorem Ipsum.

DI MANA PROFESIONALISME PEGAWAI POLIS?


Di Malaysia ini, semua rakyat merasa selamat kerana adanya Institusi Keselamatan yang menjadi sandaran apabila berlakunya masalah jenayah. Saya percaya bahawa semua warganegara di Malaysia ini masih lagi yakin dan percaya dengan tahap kredibiliti polis dalam soal menjaga keselamatan mereka walau di mana pun berada. Sebab itu, semua yang menghadapi masalah akan datang ke balai polis untuk membuat aduan mengenai masalah yang mereka hadapi.

Beberapa minggu yang lalu saya telah terbaca satu artikel di dalam laman web Sabahdaily yang bertajuk Polis Sabah Semakin Kurang Ajar. Namun Saya tidak akan mengulas lanjut kandungan cerita dalam artikel itu kerana umum mengetahui bahawa isu tersebut sedikit sebanyak telah mencemarkan nama baik pasukan polis Sabah secara keseluruhannya. Memadailah jika saya katakan bahawa isu tersebut adalah seperti pepatah melayu kerana nila setitik rosak susu sebelanga kerana hanya disebabkan angkara seorang pegawai polis berpangkat inspektor yang perasan hebat maka semua pasukan polis Sabah juga turut terlibat sama. Sebagai seorang keluarga kepada salah seorang anggota pasukan polis Sabah saya turut dapat merasakan bagaimana kecewanya mereka apabila terbitnya artikel seumpama itu.

Sejauh mana kebenaran cerita dalam artikel itu memang sangat sukar untuk dipastikan. Walau bagaimana pun, masakan daun bergoyang kalau bukan ditiup angin. Sebenarnya saya sedikit meragui akan peristiwa yang berlaku dalam artikel itu sebelum ini namun keraguan saya itu telah terhakis sepenuhnya pada pagi cuti Good Friday yang lepas. Rupanya memang benar dakwaan sesetengah orang bahawa sesetengah anggota polis memang tidak langsung bersikap profesional kepada orang awam.

Pada pagi hari jumaat yang lepas saya bergegas ke Balai Polis Daerah Tuaran untuk melaporkan kes kehilangan beberapa barang berharga yang saya hadapi ketika berhenti rehat (mengantuk) di tepi jalan Tuaran pada sekitar jam 2 hingga 5 pagi. Saya sampai ke IPD Tuaran kira-kira jam 7 pagi selepas saya mendapati kehilangan semua barang-barang tersebut di dalam kereta. Walau bagaimana pun, saya terkejut dan hampir tidak mempercayai dengan layanan yang saya terima oleh beberapa anggota dan pegawai polis yang bertugas ketika itu. Niat saya untuk melaporkan kes itu dengan cepat kerana saya perlu balik ke Kota Marudu bagi menghadiri acara paskah telah terganggu akibat sikap polis-polis disitu yang menganggap dan mengsyaki saya pula membuat-buat cerita dan membuat laporan palsu. Lebih menyakitkan hati, salah seorang pegawai yang berpangkat inspektor dengan keras berkata bahawa dia langsung tidak percaya dengan apa yang saya hadapi dan malah ketika dalam perjalanan melawat tempat kejadian itu dia mengatakan bahawa saya telah menyusahkan polis.. alalalala, ketara benarlah bahawa sikap polis tersebut menampakkan tiada langsung sikap tanggungjawab terhadap bidang kerja yang dia sedang ceburi. Akibat dari sikap para polis tersebut maka saya hanya selesai membuat laporan polis pada jam 10 lebih. Saya pun balik ke Kota Marudu dengan perasaan yang penuh kecewa bukan kerana kehilangan barang-barang berharga tersebut tetapi teramat kecewa dengan perwatakan dan sikap polis-polis yang bertugas di IPD Tuaran pada pagi itu.

Justeru, berbalik kepada artikel yang dimuatkan dalam Sabahdaily tersebut serta apa yang telah saya hadapi baru-baru ini maka benarlah dakwaan sesetengah orang bahawa masih terdapat segelintir anggota polis (bukan semua) yang tidak menitikberatkan soal perlunya melayan semua orang dengan mesra melainkan orang tersebut adalah seorang penjenayah besar. Saya faham, tugas polis memerlukan ketegasan namun biarlah ketegasan itu kena pada tempatnya.

SUATU PRESPEKTIF POLITIK

Dua tahun sudah berlalu namun suasana politik negara kita masih panas. Rakyat Malaysia masih dibuai serta dihidangkan oleh pelbagai karenah politik yang semakin garang. Muktahir ini pun, pelbagai desas desus, spekulasi dan realiti politik telah berlaku. Ianya semakin menampakkan ciri-ciri tahun harimau yang dipercayai oleh kaum cina sebagai tahun yang amat mencabar, penuh persaingan dan penuh dramatik.

Sejak peristiwa tsunami politik 2008 yang menggoncangkan negara, masyarakat umumnya memang sedar akan perjalanan politik dan masa depan negara ini sememangnya akan melalui saat-saat yang sukar dan suram serta penuh mendebarkan. Jangka waktu dua tahun sejak PRU ke 12 yang lalu bukanlah satu tempoh yang amat panjang namun disebalik masa itu kita telah melihat berbagai-bagai peristiwa politik yang berlaku dan situasi ini membuatkan semua rakyat Malaysia seakan-akan bingung,keliru dan tidak faham dengan apa yang terjadi dalam negara kita ini.

Sedar atau tidak tetapi penulis berpendapat bahawa setiap isu bukan politik dalam negara kita akan lebih mudah terdedah untuk dipolitikkan oleh semua penggerak politik dalam usaha mengekalkan survival. Dalam keadaan negara kita yang ada sekarang ini semua isu tidak kiralah soal ekonomi, sosial, agama, hubungan antarabangsa, isu persekitaran, pendidikan, perayaan ataupun penguatkuasaan memang terlalu rapuh untuk diasingkan dari dipolitikkan. Contoh Isu bukan politik yang paling dipolitikkan hari ini ialah larangan penggunaan kalimah Allah dikalangan orang bukan islam sehingga tercetusnya ketegangan agama. Manakala dalam soal ekonomi pula, rakyat menjadi gundah gulana takkala Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berbangga kerana katanya ekonomi negara ini semakin kukuh pada kadar 6 peratus tetapi dari segi pihak yang lain pula yakni Ketua Pembangkang dalam laman blognya berkata bahawa keadaan ekonomi negara semakin parah serta daya saing negara berada pada tahap yang jauh lebih rendah berbanding negara-negara di rantau ini. Justeru, pernyataan dari dua tokoh politik utama negara ini terlalu kontra dan jelas sekali bahawa isu ini juga telah dipolitikkan. Begitu juga halnya dari segi dasar pendidikan negara ini. Hari ini kita melihat banyak kepincangan berlaku dalam sistem pendidikan negara kita akibat dari keputusan-keputusan yang dibuat dengan pendekatan political view. Sampai sekarang pun keputusan mengenai PPSMI atau MBMMBI masih belum jelas. Natijahnya, generasi muda telah menjadi mangsa oleh suatu dasar yang tidak konsisten. Proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah menjadi kucar kacir. Sekejap-sekejap guna Bahasa Inggeris dan sekejap-sekejap lagi guna Bahasa Melayu. Maka terjadilah koleksi generasi berpengetahuan rojak.

Sebenarnya, apa yang penulis sebutkan di atas ini adalah merupakan implikasi dari keadaan politik yang tidak stabil berlaku dalam negara kita sejak akhir-akhir ini. Apabila kita bercakap soal politik maka yang jelas terpampang dalam fikiran kita adalah soal kuasa kerana siapa yang menguasai politik sudah tentu pihak itu akan memegang kuasa yang mutlak. Suatu masa yang lalu negara kita tidak menghadapi permasalahan yang besar kerana ianya ditakbir dan diuruskan oleh sebuah kerajaan yang kukuh dan mendapat sokongan rakyat yang kuat. Namun di Malaysia pada hari ini, keadaan seperti itu tidak lagi kelihatan kerana umum mengetahui bahawa kerajaan yang ada bukanlah sebuah kerajaan yang kuat dan oleh itu terjadilah pelbagai masalah akibat dari kapasiti kuasa yang terhad dan ditambah lagi dengan kebangkitan kuasa rakyat yang tidak berpuas hati dengan segala tindak tanduk kerajaan yang lebih banyak menumpukan usaha kepada mengembalikan sokongan rakyat daripada menumpukan soal kesejahteraan rakyat keseluruhannya.

Sistem politik Malaysia hari ini semakin menarik untuk diperhatikan. Kalau kita lihat sejarah politik negara kita pada masa yang lampau ianya seperti persaingan antara semut dan gajah dikalangan parti-parti yang berlawan. Imbaulah semula kenangan zaman kegemilangan Barisan Nasional yang berlawan dengan parti-parti pembangkang yang tidak sehaluan ketika itu. Mereka berkuasa hampir sepenuhnya di Malaysia dek ketiadaan pencabar yang kuat. Namun pada hari ini, Barisan Nasional yang menang tipis dalam pilihanraya yang lalu sudah terbangun dari lena angkara kebangkitan kesepaduan pembangkang yang kuat iaitu Pakatan Rakyat. Maka itu, kerajaan yang ada pada hari ini semakin tertekan dan mereka teruja untuk melakukan apa saja bagi mengembalikan sokongan rakyat pada pilihanraya yang akan datang.

Justeru, usaha sehala pihak kerajaan bagi mengembalikan sokongan rakyat ini dilihat sebagai penghalang yang begitu besar kepada usaha memantapkan ekonomi negara yang terumbang ambing. Ramai penganalisis berpendapat bahawa kerajaan pada hari ini telah menggunakan perbelanjaan kerajaan yang amat banyak untuk sesuatu projek yang boleh membawa manfaat kepada survival politik mereka di masa hadapan sahaja. Sebagai contohnya, program Juara Rakyat dan projek Klinik 1Malaysia sahaja telah menggunakan jutaan ringgit dana kerajaan. Namun ironinya sejauh manakah program seumpama ini boleh memanfaatkan rakyat keseluruhannya. Jika difikirkan sejenak, apakah begitu perlu sekali Projek Klinik 1Malaysia ini dilaksanakan sedangkan dalam masa yang sama masih terdapat begitu banyak hospital yang perlukan pembaikpulihan segera?. Nak sediakan doktor disetiap hospital pun masih terkial-kial inikan pula menempatkan doktor di setiap klinik 1Malaysia tersebut. Begitu juga dengan program Juara Rakyat ini, adakah masa ini sesuai bagi tujuan untuk menyatakan bahawa kerajaanlah yang menjadi juara rakyat? Alangkah baiknya, jika peruntukan sebanyak itu disalurkan di kawasan-kawasan yang perlukan penaiktarafan jalanraya seperti di kawasan pedalaman supaya ekonomi rakyat bawahan dapat dijana oleh infrustruktur yang baik dan seterusnya mereka dapat memperbaiki taraf hidup masing-masing.

Adakah politik Malaysia hari ini semakin matang atau pun sebaliknya?. Ini merupakan satu lagi persoalan yang agak abstrak kerana sesetengah orang berpendapat ya dan sesetengah juga berpendapat tidak. Kematangan sesuatu sistem politik itu sebenarnya dapat diukur dari segi perwatakan penggerak politik itu sendiri. Di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Britain, Australia dan sebahagian besar negara di Eropah dan Asia mereka mempunyai satu tahap yang dikira matang dalam berpolitik. Di Amerika misalnya, kita telah menyaksikan bagaimana hebatnya pertembungan antara Barack Obama dan Hillary Clinton dalam pilihanraya presiden negara itu. Namun setelah berakhirnya episod pemilihan presiden yang terhebat dalam sejarah Amerika itu kedua-duanya telah mengambil satu inisiatif untuk bekerjasama dalam mengurus tadbir sebuah negara yang menjadi sandaran dunia. Mereka saling memerlukan dalam memajukan negara jauh sekali cuba untuk meminggirkan antara satu dengan yang lain. Bagi mereka, yang menang mestilah dihormati kerana itu adalah pilihan rakyat. Sehebat mana pun seseorang itu sebagai pemimpin jika ia sudah tersungkur di tangan rakyat maka hakikat itu mestilah diterima dan bukannya cuba untuk mencipta sesuatu isu bagi meraih simpati rakyat. Apatah lagi kalau isu tersebut boleh saja mencetuskan ketegangan dan rasa cemas dikalangan masyarakat.

Sejak PRU ke 12, kita telah menyaksikan banyak kepincangan politik yang timbul di negara ini. Bermula dengan sebuah episod rampasan kuasa di Negeri Perak yang akhirnya telah diiktiraf oleh Istana Kehakiman sehinggalah kepada peristiwa terkini di mana terdapatnya beberapa Ahli Parlimen yang sepakat membentuk satu kumpulan yang bebas di negara ini. Kita tidak akan tahu apakah kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku lagi selepas ini. Namun yang pastinya, permainan politik ini tidak akan berhenti selagi tahap posisi kuasa masih seimbang antara kedua-duanya yakni Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional. Justeru, apakah rakyat akan semakin terus tersepit di antara ruang-ruang pertembungan kuasa ini?. Kita akan saksikan di akhir drama politik ini nanti.

“ORANG KITA”



AKTIVITI MENYEMBUR RACUN

Saya baru saja pulang dari meninjau-ninjau kebun kelapa sawit di belakang rumah ketika saya menulis artikel ini. Sudah sembilan hari berlalu namun saya masih belum melihat kelibat kekuningan yang biasanya berlaku pada semak samun apabila selesai disembur racun rumput. Seminggu yang lalu saya telah mengupah seseorang (orang tempatan) untuk menyembur racun di kebun saya. Secara kebetulan, orang itu memang hendak mencari kerja kerana perlukan wang. Jadi, saya terus mengupah orang itu dan dia berjanji untuk buat kerja itu keesokan harinya. Niat di hati saya adalah tulus untuk menolong. Justeru saya biarkan orang itu buat kerja walau pun saya tiada di sana dengan harapan agar orang itu pun buatlah kerja dengan baik. Namun hasilnya adalah agak amat mengecewakan saya. Tapi apa nak buat gajinya pun dah diberikan.

Lima bulan yang lalu saya pernah mengupah seseorang (orang asing yang mempunyai permit kerja) untuk melakukan perkara yang sama iaitu menyembur racun di kebun yang sama. Orang ini pada mulanya hanya bertanya samada terdapat kerja sampingan atau tiada. Jadi kebetulan pula kebun sawit saya itu sudah semak maka saya katakan ada iaitu menyembur racun. Orang itu pun sanggup buat kerja tanpa bertanya gajinya terlebih dahulu. Jadi, keesokan harinya dia pun buat kerja tanpa saya ada di sana juga. Tiga hari kemudian hasil kerjanya sungguh memuaskan hati dan saya pun langsaikan gajinya.

AKTIVITI MEMBINA KANDANG KAMBING

Setahun yang lalu saya mengupah seorang penduduk kampung (orang tempatan) untuk membina sebuah kandang kambing. Saiz kandang kambing itu tidak sebesar mana pun. Kebetulan orang ini memang perlukan kerja juga demi menyara keluarganya. Hari pertama orang ini buat kerja dia telah berjumpa dengan saya untuk meminjam wang kerana kesempitan. Tiada beraslah, tiada wang bayar hutanglah dan macam-macam lagi alasan. Jadi, atas dasar belas kasihan saya pun pinjamkan orang ini sejumlah wang. Hari berikutnya pun begitu juga keadaan orang ini. Sehingga akhirnya jumlah pinjaman orang itu dah melebih jumlah gajinya namun peratus kerja orang ini tidak pun sampai separuh. Dipendekkan cerita, tanpa menyiapkan kerja dan tanpa alasan orang ini berhenti kerja begitu saja. Dalam hal ini saya tidak dapat berbuat apa-apa lagi. Silap saya juga kerana terlalu mempercayai orang ini. Akhirnya, saya terpaksa meminta pertolongan daripada seorang pekerja asing yang kebetulan tinggal berdekatan di tempat saya. Orang asing ini berjaya menyiapkan kandang kambing saya itu dalam masa lima hari saja tanpa ada pinjaman.

MENJADI PENJAMIN

Pada bulan oktober 2008, seorang penduduk kampung yang juga merupakan saudara terdekat saya meminta agar saya menjadi penjamin kepada beliau kerana hendak membeli sebuah motorsikal bagi kegunaannya menjual ikan di kampung. Pada mulanya, saya agak keberatan menjadi penjamin kepada orang ini kerana bimbang orang ini tidak dapat menampung bayaran bulanan motorsikal ini. Namun, apabila orang ini merayu kepada saya sehingga beberapa kali maka saya pun jatuh kasihan lalu membantunya. Lagi pula, semasa beliau merayu dia katakan bahawa dia sanggup memotong jarinya jika tidak dapat membayar bulanan motorsikal itu. Saya tersenyum saja dan keesokannya orang ini sudah berjaya mengeluarkan sebuah motorsikal berjenama Honda hasil dari pertolongan saya. Dalam hal itu saya juga gembira kerana dapat membantu orang ini.

Dipendekkan cerita, minggu lepas (setelah hampir setahun) saya terkejut apabila satu surat saman daripada syarikat motorsikal itu diberikan kepada saya. Rupa-rupanya, sudah lima bulan motorsikal itu tidak dibayar. Saya pun datang ke rumah saudara saya itu untuk meminta penjelasan namun jawapan yang diberikan sungguh tidak masuk akal saya. Akhirnya, dengan berat hati saya membayar tunggakan motosikal itu bagi mengelakkan nama saya daripada blacklist. Saya juga mengambil motorsikal itu daripada saudara saya kerana bimbang kalau dia tidak dapat membayar lagi. Sekarang motorsikal itu hanya terperap di rumah kerana tiada yang pakai. Lebih baik begitu daripada saya menanggung kerugian yang tidak berbaloi. Dalam hal itu, hati saya berbisik “tidak tolong pun susah, menolong pun susah”.

AKTIVITI MENGHANTAR ORANG

Perkara ini pula berlaku semasa saya baru bekerja kira-kira empat tahun yang lalu. Kira-kira lima bulan dari itu saya pun membeli sebuah kereta. Saya tinggal bersama ibubapa di mana lokasinya berdekatan dengan Pekan Tandek (Kg. Asin-Asin). Sebagai ibubapa sudah tentu mereka tumpang gembira melihat anak mereka mempunyai kereta. Keluarga-keluarga yang lain juga tumpang gembira. Dipendekkan cerita lagi, adalah seorang makcik saya ini (kira sepupu ibu saya yang jauh) yang tinggal di kampung bersebelahan selalu pergi ke tamu di Pekan Tandek pada setiap hari khamis. Jadi apabila hari petang maka dia selalu singgah di rumah kami dan meminta agar dihantar ke rumahnya. Begitulah keadaannya selalu apabila hari khamis. Kadang-kadang itu saya agak bosan juga dengan karenah makcik ini namun ibu saya selalu menasihatkan saya agar selalu membantu orang tua.

Minggu berganti minggu dan bulan berganti bulan maka saya pun sampailah ke satu tahap bosan yang teramat sangat dengan karenah makcik ini. Bukannya tidak mahu menolong dan tidak menghomati orang tua tapi kalau sudah dijadikan rutin mingguan maka saya pun ada hadnya. Jadi, mulai hari itu saya pun tidak balik ke rumah sehingga malam jika hari khamis kerana hendak mengelak daripada makcik itu. Dijadikan cerita, selepas beberapa bulan dari itu maka saya pun terdengar beberapa cakap-cakap kosong bahawa makcik itu mengatakan bahawa saya terlalu sombong dan tembirang. Hati saya agak geram jugalah dengan makcik ni tapi apa yang boleh dibuat. Saya tahu mungkin itu adalah tindak balas daripada makcik tu kerana saya tidak menghantarnya lagi tapi nak buat macam mana kan? Kita memang tidak akan dapat memuaskan hati semua orang.

MENYARA ORANG SUSAH

Kisahnya bermula ketika saya baru menamatkan pengajian di universiti. Terdapat sebuah keluarga yang susah sehingga tiada tempat tinggal. Entah apa yang berlaku sehingga mereka ini langsung tiada tempat berteduh maka ayah saya pun mengizinkan mereka sekeluarga untuk tinggal di rumah kami. Demi dasar belas kasihan segala perbelanjaan makan minum di dalam rumah kami ditanggung oleh kami sekeluarga. Ketika itu saya pun belum mendapatkan kerja dan hanya membantu ayah menoreh getah.

Dipendekkan cerita lagi, setelah beberapa bulan mereka tinggal di rumah kami itu saya pun mulai berasa janggal dengan mereka sekeluarga. Sudahlah mereka makan-minum free saja sehinggakan soal menyediakan makanan pun ibu saya yang buat semuanya. Selepas makan, bekas-bekas makanan (pinggan mangkuk) pun ibu saya pula yang tolong kemaskan dan bersihkan. Begitulah setiap hari yang berlaku. Kadang-kadang tu, saya marah dengan sikap ibu saya hanya berdiam diri saja dengan karenah mereka.

Keadaan itu berlarutan sehingga hampir setahun mereka tinggal di rumah kami. Mereka hanya duduk di rumah saja setiap hari tanpa memikirkan keadaan mereka. Inisiatif untuk membina rumah sendiri pun tiada langsung kerana mereka sangat selesa tinggal di rumah kami itu. Jiwa saya pula mulai dirasuk setan melihat telatah mereka yang bagaikan raja di dalam rumah. Hanya menunggu untuk dihidangkan makanan. Mereka langsung tidak memikirkan kesulitan kami yang menyara mereka. Kalau sehari dua tidak apa juga tapi ini dah setahun mereka tinggal bersama kami tanpa ada inisiatif untuk membantu kami.

Satu hari ketika saya baru balik dari kerja. Ibu saya mengadu tidak sihat. Ayah pula masih di kebun. Makan minum masih belum ada. Mereka sekeluarga pula asyik melepak di rumah menonton TV. Maka meluaplah darah muda saya. Tanpa saya sedari, saya mula mengamuk dengan mereka. Lantas keluarlah perkataan dari mulut saya mengatakan “mulai esok kamu harus cari tempat tinggal lain kerana saya tidak mahu lagi kamu tinggal di rumah ini”. Ibu saya marah dengan kata-kata saya itu tapi saya berpuas hati kerana dapat menyedarkan mereka akan keadaan kami. Seminggu kemudian mereka pun pindah entah ke mana. Saya pun tidak ambil peduli lagi. Tolong-tolong juga tapi kalau dah melampau kita pun ada hadnya.

Beginilah antara beberapa pengalaman yang saya alami dengan orang kita. Kadang-kadang saya terfikir juga bahawa kemiskinan bagi sesetengah orang kita ini bukanlah kerana dia dilahirkan miskin tetapi ia disebabkan oleh faktor sikap dan pemikiran. Bagaimana nak maju kalau sikap memang pemalas, kerja tidak bersungguh-sungguh, tidak tahu berdikari sendiri, pentingkan diri dan berfikiran pendek serta tidak tahu menghargai pertolongan orang lain. Suatu ketika dulu, keadaan keluarga kami juga amat daif. Namun dengan usaha dan iltizam kedua ibubapa saya maka kami telah dapat keluar dari kepompong kemiskinan. Hari ini, saya tidaklah sekaya mana pun tetapi tidaklah mewarisi kemiskinan nenek moyang dulu.

UCAPAN HARI RAYA AIDILFITI 2009

Sempena Hari Raya ini saya ingin mengucapkan
Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin
buat semua rakan-rakan di seluruh Malaysia yang akan menyambut perayaan ini. Semoga ikatan perpaduan dan keharmonian kita semua akan terus terpelihara

CATATAN KEMERDEKAAN YANG LESU



Saat kemerdekaan yang dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia kian dekat ketika doktor memutuskan aku agar dimasukkan di sebuah hospital tempatan. Ketika itu, jiwaku terseksa apabila aku sendiri tidak merdeka dari melakukan apa saja lantaran pergerakanku yang amat terhad dan terbatas akibat pembedahan yang aku alami. Di kala semua kawan-kawan telah menghabiskan waktu-waktu cuti yang indah bersama keluarga aku pula terlantar di hospital melalui rawatan dan hanya dapat memperhatikan orang-orang disekililingku. Seakan-akan jiwa meronta kesakitan takkala kebebasanku sebelum ini diragut oleh kesan pembedahan yang aku lalui sendiri.

Pengalaman kecil di hospital ketika bulan kemerdekaan yang lalu telah memberikan aku satu keinsafan bahawasanya nilai kebebasan sebenar hanya akan dihargai oleh orang yang pernah diragut kebebasannya. Peristiwa yang aku lalui ini menjadikan aku faham tentang makna kemerdekaan. 52 tahun yang lalu, seluruh rakyat di Tanah Melayu berhasil mencapai kemerdekaan dan kita tidak dapat membayangkan betapa gembiranya perasaan mereka apabila kebebasan di negara sendiri telah mula dikecapi. Mereka seperti burung yang baru sahaja terlepas dari sangkarnya. Bebas sebebas-bebasnya tanpa ada lagi campurtangan penjajah. Pendek kata, hidup mati negara ini sudah di tangan mereka sendiri.

Rentetan itu, saban tahun kita pasti akan terasa bahang tersebut apabila mendekati tarikh yang penuh keramat itu. Seluruh rakyat Malaysia dari pelbagai bangsa dan agama turut serta demi menghormati kemerdekaan negara yang tercinta dan yang pastinya, setiap dari kita sudah tentu tidak terlepas dari memikirkan apakah makna kemerdekaan dalam diri kita yang sebenarnya.

Kemerdekaan bererti sebuah kebebasan yang mutlak. 46 tahun yang lalu, beberapa pemimpin Sabah ketika itu seperti Tun Mustapha dan Donald Stephens melaungkan kata-kata merdeka buat pertama kalinya sempena peristiwa pembentukan sebuah negara yang baru iaitu MALAYSIA. Sir William Goode iaitu Gobenor Borneo Utara yang terakhir mengatakan bahawa “hari ini merupakan hari yang sungguh bersejarah buat Sabah kerana kemerdekaan ini menandakan bahawa berakhirnya sebuah perjanjian dan bermulanya sebuah pemerintahan sendiri”. Manakala Tunku Abdul Rahman pula berkata bahawa “pembentukan Malaysia akan membolehkan wilayah-wilayah Borneo akan dapat menukar statusnya sebagai tanah jajahan British kepada pemerintahan sendiri dan sekali gus mencapai kemerdekaan melalui Malaysia”. Inilah antara harapan dan perjuangan tokoh-tokoh pemimpin yang sama-sama membentuk sebuah negara yang berkonsepkan rakan kongsi dan bukannya sebuah jajahan yang baru. Hari ini, kita bersyukur kerana Malaysia yang wujud sejak itu masih aman damai dan harmoni serta tidak berlakunya persengketaan.

Namun persoalan yang menerjah di benak kita semua pada hari ini ialah hasrat rakyat Sabah untuk bebas dari konsep belengu penjajahan supaya dapat memimpin dan menentukan masa depan sendiri seperti yang termaktub dalam beberapa dokumen Perjanjian Malaysia nampaknya kian pudar bersama lipatan sejarah kemerdekaan negara. Fakta tentang sejarah kemerdekaan Sabah yang diperolehi daripada British pada 31 ogos 1963 dan sejarah Pembentukan Malaysia yang sebenar pada 16 September tahun yang sama nampaknya semakin lama dilupakan oleh pemimpin. Ini menjadikan generasi baru pada hari ini kelihatannya terpinga-pinga untuk memahami kewujudan Malaysia kerana kurangnya pendedahan dan penjelasan yang tertib tentang sejarah pembentukan negara ini. Tidaklah amat keterlaluan jika dikatakan bahawa golongan muda kita pada hari ini hanya tahu tentang peristiwa 31 Ogos 1957. Justeru, di mana silapnya jika realiti sejarah ini diperbetulkan dan diperjelaskan? tetapi nampak gayanya ini belum menjadi keutamaan kepimpinan negara kini.

Sebuah kemerdekaan juga merupakan suatu keadilan yang nyata. Namun dalam ruang keadilan yang kita nikmati dalam negara kita kini ternyata masih ada lompangnya. Kekadang naluri hati yang tulen dan waras masih tertanya-tanya mengapa di Sabah seorang pegawai kerajaan yang dilahirkan di Tanah Melayu mempunyai gaji yang tinggi berbanding dengan pegawai yang sama yang dilahirkan di Kepulauan Borneo walaupun mereka ini mempunyai pangkat dan kelulusan yang sama tarafnya. Begitu juga kisahnya dengan lambakan siswazah di negeri Sabah ini yang gagal mendapat pekerjaan sedangkan ramai pula graduan dari negeri seberang yang dihantar untuk berkhidmat di negeri ini. Apakah ini menunjukkan bahawa kita pada hari ini masih lagi ditakuk lama yang masih dianggap tidak layak untuk berkhidmat dan mentadbir negeri sendiri? Inilah antara satu dalam banyak lagi persoalan yang masih belum punya penghujungnya.

Gagasan 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri kita sekarang ini juga merupakan sebahagian daripada manifestasi tujuan kemerdekaan bagi negara kita. Ianya sungguh baik untuk rakyat jelata Malaysia yang cintakan perpaduan, keadilan dan keamanan. Dalam gagasan hebat ini sudah pasti tiada lagi kasta bagi masyarakat yang majmuk kerana semua rakyat Malaysia menjadi satu bangsa. Tiada lagi kawasan yang menjadi anak emas bagi pemerintah kerana semua tempat di Malaysia ini berhak untuk tidak dianaktirikan. Tidak kiralah dimana kita berada, apakah agama yang kita anuti dan apakah bangsa kita asalkan kita rakyat Malaysia maka kita semua adalah satu dalam Malaysia. Namun dalam konteks Sabah dalam Malaysia ketika ini, ternyata konsep ini masih jauh dari apa yang difikirkan oleh rakyat Sabah keseluruhannya. Ternyata iklan-iklan yang digambarkan dikaca TV sekali pun amat mengenepikan kewujudan pelbagai bangsa di Sabah. Yang kelihatan hanyalah gabungan MIC (Malay, India , Cina) sahaja. Mungkinkah kita dilupakan?

Sesungguhnya, 1Malaysia telah pun berakar umbi dalam jiwa masyarakat kita di Sabah. Sungguh tidaklah melampau jika dikatakan bahawa gagasan ini telah pun merentasi sempadan budaya, agama dan bangsa kita sejak sekian lamanya. Justeru, kerajaan dan pemimpin negara ini haruslah melihat dan mentransformasikan 1Malaysia dalam ruang lingkup yang lebih luas di negeri ini. Kesedaran atas ketanggungjawaban dalam memimpin dan mencorakkan masa depan negeri Sabah sendiri sudah lama diimpikan oleh keseluruhan rakyat Sabah. Maka dengan itu, gagasan ini harus diterjemahkan melalui kepercayaan kepada anak jati Sabah dalam memimpin dan menjalankan usaha pentadbirannya mengikut acuan sendiri sesuai dengan konsep dan formula pembentukan negara yang menjamin kedudukan Sabah dalam Malaysia.
Sekadar memetik kata-kata yang ulung dari seorang negarawan ulung, Kemerdekaan sesebuah bangsa adalah kebebasannya dalam memimpin dan menjalankan pemerintahan sendiri tanpa adanya sebuah bangsa lain yang mencampurinya. SELAMAT HARI MALAYSIA (16/9)

WACANA BANGSA


Salam Hormat buat semua pembaca sekalian. Nampaknya kali ini percutian saya dari dunia blog hampir menjangkau tiga purnama lamanya dek kesibukan yang tidak dapat dielakkan. Dari jengukan saya di blog rakan-rakan (Kota Marudu) banyak juga isu tempatan yang hangat dibicarakan malah isu negara juga tidak kurangnya. Dari perihal kecincaian pelaksanaan projek, Isu pungutan cukai oleh MDKM, Indeks prestasi YB sedia ada, cadangan tambahan kerusi bagi parlimen KM, keruntuhan moral remaja sekarang dan sehinggalah kepada isu H1N1, polemik sistem pendidikan nasional (PPSMI) dan juga soal-soal politik negara. Wow...dengan perkembangan ini maka saya mengambil kesimpulan untuk mengucapkan tahniah buat semua bloggers yang semakin matang membicarakan isu, melontarkan idea bernas dan membuat satu anjakan paradigma yakni bangkitnya semangat revolusi. Dengan perkembangan ini juga maka ia telah memungkinkan kita semua untuk bersatu hati mengetahui visi dan misi serta harapan dan perjuangan masing-masing walau pun nun jauh di mata.

Saudara yang budiman, pagi ini saya selesai membaca sebuah buku yang bertajuk "Melayu Perlu Berubah" hasil nukilan oleh orang yang agak tersohor dalam dunia perjuangan melayu iaitu Professor Diraja Ungku Aziz. Dalam buku tersebut beliau mengatakan bahawa sudah tiba masanya orang melayu hari ini harus menghadapi segala kemunduran, kemiskinan dan kelemahan dengan sikap yang jujur dan berani. Kita tidak perlu lagi berasa segan. Kita mesti tegas dan berani mengatakan bahawa kita orang melayu, dan kita mahu menakluki dunia. Kenapa harus segan? Kenapa malu mengaku melayu. Kalau melayu, melayulah. Begitulah kata-kata saranan yang diutarakan oleh pejuang melayu tulen ini yang khususnya ditujukan kepada masyarakat melayu takkala beliau merasakan ada sesuatu yang tak kena dengan golongan ini sekarang di bumi Malaysia.

Saudara dan saudari sekalian, perkataan melayu perlu berubah nampaknya bukan lagi sesuatu yang agak asing di pendengaran kita. Sejak kepimpinan terdahulu sehinggalah sekarang saranan ini telah acapkali diutarakan oleh pelbagai lapisan masyarakat melayu itu sendiri iaitu bukan sahaja di kalangan ahli politik malah aktivis masyarakat, ahli akademik, golongan profesional hatta masyarakat bawahan sekali pun. Namun begitu ada sesuatu yang agak menarik untuk didiskusikan daripada buku tersebut iaitu saranan beliau untuk berlaku jujur terhadap segala kemelut kemunduran, kemiskinan dan juga kelemahan yang ada pada bangsanya. Begitu juga dengan semangat yang dibangkitkan oleh beliau supaya menidakkan kegentaran dari keadaan itu dan bangkit untuk melawannya.

Justeru, dalam konteks situasi dan keadaan masyarakat minoriti seperti kita hari ini nampaknya realiti ini tidak jauh berbeza dengan apa yang berlaku dengan masyarakat melayu sekarang di Malaysia. Umum mengetahui bahawa masyarakat kita hari ini masih lagi di tahap masyarakat yang miskin dan mundur dari pelbagai aspek. Masyarakat kita masih dilihat amat jauh terkebelakang berbanding bangsa lain di Malaysia. Malah masyarakat kita juga masih di awang-awangan dalam mencari arah politik sebenar dek ketiadaan pemimpin yang bijaksana, disegani, berintegriti dan yang boleh diharapkan untuk memimpin negara. Survival politik masyarakat kita masih lemah sehingga ianya seperti hidup segan mati tak mahu takkala kesinambungan politik kita hari ini masih berdiri dari kebergantungan orang lain semata-mata. Penglibatan dalam hal ehwal ekonomi negara juga adalah jauh panggang dari api. Rata-ratanya keadaan ekonomi masyarakat kita hari ini tidak jauh berubah sejak dari dahulu lagi. Golongan petani dalam masyarakat kita sejak 30 tahun yang lalu masih lagi tidak dapat berganjak dari keadaan tradisi itu sehingga kini. Sawah padi sebendang yang diusahakan masih diwarisi oleh generasi seterusnya sekaligus membuktikan bahawa tiada perkembangan ekonomi yang mapan di kalangan masyarakat kita. Begitu jugalah dengan penghijrahan kaum belia yang ramai ke Semenanjung menunjukkan bahawa tiada peluang ekonomi yang tersedia di persekitaran kita sehingga memaksa mereka ini untuk berkongsi limpahan ekonomi di tempat lain. Kebanggaan masyarakat kita terhadap keramaian graduan yang terjana hasil dari kesedaran kepentingan pendidikan juga mula terhakis bila mana bukan semuanya mendapat peluang pekerjaan yang diharap-harapkan. Harapkan cerah hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari, begitulah keadaan para permata bangsa yang bersusah payah merintangi cabaran namun tidak beroleh pekerjaan sehingga akhirnya segala impian dan harapan para keluarga untuk dirubah dari kepompong kemiskinan juga tidak kesampaian. Saya melihat bahawa inilah antara faktor-faktor yang menyumbang kepada keadaan masyarakat kita hari ini. Hakikatnya harus kita terima bahawa kawasan kita diistiharkan sebagai kawasan yang termundur dan termiskin di Malaysia adalah hasil dari terjemahan realiti masyarakat kita sendiri yang masih mundur hingga ke hari ini.

Bagaimana pun, seperti kata-kata Prof DiRaja Ungku Aziz dalam bukunya itu maka kemunduran dan kemiskinan ini harus diakui oleh masyarakat kita dengan jujur berdasarkan penjelasan yang saya sebutkan di atas. Masyarakat kita tidak harus merasa jangkal dan kekok bila berhadapan dengan ahli masyarakat yang lebih dominan baik di dalam mahupun di luar negara. Kelemahan ini juga tidak harus terus-menerus menghalang masyarakat kita untuk terus berubah menjadi maju. Golongan para cerdik pandai juga perlulah berani untuk memperbaiki keadaan masyarakat kita hari ini. Kesepaduan daripada golongan cendikiawan dalam merangka perubahan minda masyarakat kendiri harus disegerakan dan dijelmakan dalam bentuk tindakan yang proaktif. Jangan pula ada masyarakat cerdik kita yang berfikiran endah tak endah, saling bercakaran dan mengamalkan sikap mementingkan diri apabila hanya memerhatikan kelemahan dan ketidaklangsungan bangsa. Harus diingat bahawa perjuangan sesebuah bangsa yang tulen bukan hanya tertumpu kepada satu-satu bidang sahaja tetapi haruslah merangkumi dari semua aspek sosial, ekonomi dan politik. Tiada gunanya jika sesebuah masyarakat hanya maju dalam bidang pendidikan umpamanya tetapi kurang dalam soal politik. Keagungan Tamadun Greek yang lampau adalah kerana penguasaannya dalam bidang sosioekonomi dan politik yang mantap. Begitu juga dengan kekuatan Tamadun Cina keseluruhannya hari ini adalah kerana disulami oleh kekuatan politik dan ekonominya. Justeru, sudah tiba masanya semua golongan dalam masyarakat kita baik yang kaya mahupun yang kurang kaya, yang pintar mahupun yang kurang pintar, rakyat biasa mahupun bukan rakyat biasa, yang berpendidikan mahupun yang kurang berpendidikan supaya berganding bahu untuk bersatu. Saya percaya jika kekuatan kita bersama terus digembleng maka tidak mustahil suatu masa nanti kita akan dapat melihat terjadinya perubahan terhadap bangsa kita. Hanya kebangkitan semangat perjuangan dan kesatuan bangsa serta kekuatan minda untuk bersatu dalam menghadapi apa sahaja rintangan, cabaran dan konflik yang akan menentukan sama ada jatuh atau bangunnya tamadun bangsa kita di masa yang mendatang.
Salam hormat.
DAVID MEJA
18 Ogos 2009

MENCARI TITIK PERTEMUAN


Sayugia diumumkan bahawa penubuhan satu lagi wadah perjuangan orang Kimaragang di Malaysia akan bakal dilancarkan sedikit masa lagi. Jawatankuasa Penaja Pertubuhan ini telah pun dibentuk pada 2 Mei 2009 di Tingkat 13, Hotel Services Beta, WP Labuan. Persetujuan untuk menubuhkan persatuan ini adalah susulan kepada gabungan pemikiran orang-orang Kimaragang yang terdiri dari pelbagai latarbelakang yang bersidang di Torong Soko pada 13 Ogos 2008 yang lalu. Nama persatuan yang dimaksudkan ini ialah PERSATUAN KIMARAGANG MALAYSIA.

Dengan tertubuhnya persatuan ini bermakna Bangsa Kimaragang akan mencipta satu lagi sejarah baru iaitu satu-satunya bangsa di Sabah yang kini mempunyai 3 pertubuhan yang sah setakat ini. Antara persatuan yang sedia ada kini ialah PERSATUAN KIMARAGANG BERSATU SABAH (PKBS) yang telah pun wujud sejak 10 tahun yang lalu dan sebuah lagi pertubuhan yang baru dibentuk pada November 2008 iaitu ALUMNI KIMARAGANG. Selain itu, terdapat juga usaha-usaha murni yang sedang dilakukan oleh sekumpulan pejuang Kimaragang yang menggunakan bidang penulisan alam maya(blog) untuk memperjuangkan bangsa. Keunikan kepada semua persatuan ini adalah kesemuanya berpaksikan kepada satu usaha yang sama iaitu memajukan bangsa dalam semua aspek pendidikan, budaya, politik, ekonomi dan sosial. Tahniah, kepada bangsa ini kerana berjaya menyatukan pemikiran-pemikiran jitu untuk mengangkat martabat bangsa meski pun dalam kumpulan yang berbeza.

Berbincang tentang persatuan ini, saya tertarik dengan satu penulisan yang dibuat oleh seorang penulis blog Kimaragang terkenal yang dimuatkan dalam blognya Suara Bangsa. Beliau menyatakan bahawa "wujud gerakan reformasi yang menyeru untuk bersatu tapi konsepnya kurang tepat. Misalnya, mereka mahu buat persatuan tetapi seolah-olah menafikan "kepelbagaian dalam satu kesatuan" yang ditekankan ialah "kepelbagaian menjadi satu dalam kesatuan". Ada pula cendikiawan yang berpendapat bahawa "kepelbagaian itu adalah penghalang kesatuan". Memang ada benarnya tapi lebih banyak yang tidak benar tentang pandangan ini. Lebih parah lagi apabila ada yang berpendapat bahawa kepelbagaian itu menghalang gerakan perjuangan. Entah apa punya perjuangan yang memerlukan semua orang mesti duduk dalam satu persatuan sahaja. Dan entah apa jenis manusia pandai yang tidak boleh kerja, tidak boleh berbakti kalau tidak melalui persatuan. Ingat, iktikad yang silap atau konsep yang kabur, boleh menjadikan kita hilang arah. Hal inilah yang saya lihat menjadi salah satu sebab yang menghalang perjuangan dalam mana-mana bangsa" Itulah pandangan beliau yang telah lama menarik perhatian saya. Sebenarnya saya amat mengagumi pandangan ini kerana telah lama saya membaca, mendengar dan memperhatikan soal kesatuan namun amat kurang hujah yang menyamai pandangan ini bahkan banyak pertikaian berlaku dalam kepelbagaian persatuan atau kumpulan dalam kebanyakan entiti bangsa yang diperjuangkan yang dinyatakan oleh para penulis lain. Saya sendiri mungkin tergolong dalam kelompok manusia yang berfikiran kurang kritikal dalam hal kepelbagaian(banyak persatuan) kerana fikiran saya masih memikirkan kepada soal ketakutan timbulnya perpecahan sesuatu bangsa bila mana terdapat banyak persatuan yang mungkin boleh bersatu dalam suatu hal namun tidak mungkin dalam kebanyakan perkara.

Persepsi saya tentang hal ini adalah seperti sekumpulan manusia yang ingin pergi ke suatu tempat dengan menaiki kapal yang berbeza dan setiap kapal itu pastinya ada nakhoda dan kelasi masing-masing. Destinasi bagi semua kapal tersebut adalah sama namun tidak mungkin kesemua kapal tersebut sampai pada waktu yang sama kerana setiap kapal itu mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing. Setiap nakhoda kapal pasti mempunyai rancangan tersendiri manakala kelasi-kelasi kapal pula mempunyai pelbagai ragam. Hanya nakhoda yang bijak serta kelasi kelasi kapal yang hebat sahaja yang mampu bertahan melawan ribut dan badai lautan dan akhirnya sampai ke destinasi. Bagi kapal yang lemah segala-galanya pasti akan kecundang di tengah perjalanan. Jadi, dalam hal ini hanya sekelompok sahaja yang selamat manakala yang lainnya gagal diselamatkan walaupun dari satu kumpulan yang sama. Kepelbagaian persatuan bagi satu bangsa juga menimbulkan kebimbangan di dalam fikiran saya bila mana timbulnya persaingan negatif dalam memperjuangkan bangsa. Saya cuba untuk menangkis kebimbangan ini namun naluri hati tetap berbisik bahawa setiap manusia pada hakikatnya adalah berbeda. Tidak mungkin hati dan perasaan setiap orang dapat disatukan. Setiap persatuan pastinya menginginkan pengiktirafan dalam usaha mencapai matlamat yang digariskan. Saya tidak dapat membayangkan jika suatu hari nanti semua persatuan orang kimaragang ini akan menganjurkan Pesta Kaamatan mereka masing-masing demi untuk mencapai matlamat masing-masing. Ketidakpastian di kalangan masyarakat kimaragang sendiri dalam menilai persatuan mana satukah yang sebenarnya mewakili mereka juga pastinya akan timbul. Pimpinan kerajaan juga pastinya akan bingung dan tertanya-tertanya yang mana satukah persatuan sebenar orang kimaragang jika semua persatuan ini nanti masing-masing menuntut sesuatu isu kepada kerajaan.

Justeru, ketika perbincangan untuk menubuhkan sebuah lagi persatuan kimaragang baru-baru ini saya telah memberikan beberapa pandangan yang bertentangan dengan rakan-rakan seperjuangan ketika itu. Saya menyatakan bahawa penubuhan persatuan ini wajar untuk diteliti sedalam-dalamnya terlebih dahulu. Persatuan sedia ada telah pun wujud dan tiada salahnya jika kita menghampiri kepimpinan persatuan ini dan berbincang soal ketuanan bangsa. Memang benar dakwaan sesetengah rakan bahawa persatuan yang ada agak lemah kerana tiada usaha-usaha lain yang diketengahkan selain dari menganjurkan Kaamatan saban tahun. Namun saya melihat kelemahan ini tetap boleh diperbaiki jika setiap kita yang merasakan kelemahan pada persatuan ini melibatkan diri dan menyampaikan idea-idea yang dirasakan boleh mengukuhkan lagi persatuan ini. Jika kita berpandangan bahawa kelemahan persatuan ini kerana pemimpinnya yang tidak berfungsi maka kita seharusnya boleh membuat teguran dengan cara yang profesional atau mempraktikkan amalan demokrasi dalam persatuan dengan cara menawarkan diri untuk bertanding dalam pemilihan pemimpin kerana persatuan ini adalah milik semua dan bukannya eksklusif kepada seseorang individu sahaja.

Bagaimana pun, saya juga merasakan bahawa pendapat yang dinyatakan oleh Suara Bangsa itu ada benarnya. Kepelbagaian persatuan tidak semestinya akan menghalang perjuangan terhadap bangsa ini jika semua nakhoda dan kelasi-kelasi ketiga-tiga persatuan ini atau ada lagi pertambahan suatu masa nanti dapat membulatkan hati dan perjuangan, bersatu dalam kepelbagaian (Unite in Diversity) dan melempar jauh sikap sombong, ego dan saling memburuk-burukkan antara satu dengan lain. Mungkin sudah sampai waktunya kita harus menerima dan membuka minda kita terhadap konsep perjuangan sebegini. Terlintas juga di fikiran saya bahawa lebih banyak persatuan maka lebih banyaklah huguan siou kita dan maka itu tiada lagi alasan mengapa bangsa ini sukar bangkit dari kepompong kesederhanaan berbanding dengan bangsa lain. Adalah diharapkan dengan wujudnya banyak persatuan pada bangsa ini maka suatu hari nanti kita akan menyaksikan berdirinya seorang Menteri yang berbangsa Kimaragang di bumi Malaysia, lahirnya beberapa jutawan Kimaragang di seluruh Nusantara dan wujudnya golongan-golongan profesional Kimaragang yang ada dimana-mana sudut dunia.

Harapanku juga, kepada pejuang-pejuang bangsa yang berjuang di luar lingkungan persatuan agar dapat menyatukan hati nurani yang ikhlas kepada masyarakat ini dengan memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada saf kepimpinan Kimaragang (semua persatuan). Janganlah pula kita asyik menyalahkan persatuan-persatuan ini sahaja jika berlakunya kekurangan tetapi harus meyumbangkan buah fikiran yang dinamik serta berinovasi demi survival bangsa Kimaragang. Marilah kita mencari titik pertemuan yang sebenar (miiso o ginawo) dalam perjuangan membela bangsa tercinta ini. Tekad dan keikhlasan para Kepala Pejuang semua persatuan Kimaragang ini semestinya wajar diazimatkan di dalam hati sanubari masing-masing agar kepentingan bangsa akan dapat mengatasi kepentingan diri. "Sumintor Tokou".

Nota: Tahniah kepada Persatuan Kimaragang Bersatu Sabah (PKBS) kerana berjaya mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada 05 Mei 2009 di Torong Soko.