My Dream

welcome

Lorem Ipsum is simply dummy text of the printing and typesetting industry. Lorem Ipsum has been the industrys standard dummy text ever since the 1500s, when an unknown printer took a galley of type and scrambled it to make a type specimen book. It has survived not only five centuries, but also the leap into electronic typesetting, remaining essentially unchanged. It was popularised in the 1960s with the release of Letraset sheets containing Lorem Ipsum passages, and more recently with desktop publishing software like Aldus PageMaker including versions of Lorem Ipsum.

WACANA BANGSA


Salam Hormat buat semua pembaca sekalian. Nampaknya kali ini percutian saya dari dunia blog hampir menjangkau tiga purnama lamanya dek kesibukan yang tidak dapat dielakkan. Dari jengukan saya di blog rakan-rakan (Kota Marudu) banyak juga isu tempatan yang hangat dibicarakan malah isu negara juga tidak kurangnya. Dari perihal kecincaian pelaksanaan projek, Isu pungutan cukai oleh MDKM, Indeks prestasi YB sedia ada, cadangan tambahan kerusi bagi parlimen KM, keruntuhan moral remaja sekarang dan sehinggalah kepada isu H1N1, polemik sistem pendidikan nasional (PPSMI) dan juga soal-soal politik negara. Wow...dengan perkembangan ini maka saya mengambil kesimpulan untuk mengucapkan tahniah buat semua bloggers yang semakin matang membicarakan isu, melontarkan idea bernas dan membuat satu anjakan paradigma yakni bangkitnya semangat revolusi. Dengan perkembangan ini juga maka ia telah memungkinkan kita semua untuk bersatu hati mengetahui visi dan misi serta harapan dan perjuangan masing-masing walau pun nun jauh di mata.

Saudara yang budiman, pagi ini saya selesai membaca sebuah buku yang bertajuk "Melayu Perlu Berubah" hasil nukilan oleh orang yang agak tersohor dalam dunia perjuangan melayu iaitu Professor Diraja Ungku Aziz. Dalam buku tersebut beliau mengatakan bahawa sudah tiba masanya orang melayu hari ini harus menghadapi segala kemunduran, kemiskinan dan kelemahan dengan sikap yang jujur dan berani. Kita tidak perlu lagi berasa segan. Kita mesti tegas dan berani mengatakan bahawa kita orang melayu, dan kita mahu menakluki dunia. Kenapa harus segan? Kenapa malu mengaku melayu. Kalau melayu, melayulah. Begitulah kata-kata saranan yang diutarakan oleh pejuang melayu tulen ini yang khususnya ditujukan kepada masyarakat melayu takkala beliau merasakan ada sesuatu yang tak kena dengan golongan ini sekarang di bumi Malaysia.

Saudara dan saudari sekalian, perkataan melayu perlu berubah nampaknya bukan lagi sesuatu yang agak asing di pendengaran kita. Sejak kepimpinan terdahulu sehinggalah sekarang saranan ini telah acapkali diutarakan oleh pelbagai lapisan masyarakat melayu itu sendiri iaitu bukan sahaja di kalangan ahli politik malah aktivis masyarakat, ahli akademik, golongan profesional hatta masyarakat bawahan sekali pun. Namun begitu ada sesuatu yang agak menarik untuk didiskusikan daripada buku tersebut iaitu saranan beliau untuk berlaku jujur terhadap segala kemelut kemunduran, kemiskinan dan juga kelemahan yang ada pada bangsanya. Begitu juga dengan semangat yang dibangkitkan oleh beliau supaya menidakkan kegentaran dari keadaan itu dan bangkit untuk melawannya.

Justeru, dalam konteks situasi dan keadaan masyarakat minoriti seperti kita hari ini nampaknya realiti ini tidak jauh berbeza dengan apa yang berlaku dengan masyarakat melayu sekarang di Malaysia. Umum mengetahui bahawa masyarakat kita hari ini masih lagi di tahap masyarakat yang miskin dan mundur dari pelbagai aspek. Masyarakat kita masih dilihat amat jauh terkebelakang berbanding bangsa lain di Malaysia. Malah masyarakat kita juga masih di awang-awangan dalam mencari arah politik sebenar dek ketiadaan pemimpin yang bijaksana, disegani, berintegriti dan yang boleh diharapkan untuk memimpin negara. Survival politik masyarakat kita masih lemah sehingga ianya seperti hidup segan mati tak mahu takkala kesinambungan politik kita hari ini masih berdiri dari kebergantungan orang lain semata-mata. Penglibatan dalam hal ehwal ekonomi negara juga adalah jauh panggang dari api. Rata-ratanya keadaan ekonomi masyarakat kita hari ini tidak jauh berubah sejak dari dahulu lagi. Golongan petani dalam masyarakat kita sejak 30 tahun yang lalu masih lagi tidak dapat berganjak dari keadaan tradisi itu sehingga kini. Sawah padi sebendang yang diusahakan masih diwarisi oleh generasi seterusnya sekaligus membuktikan bahawa tiada perkembangan ekonomi yang mapan di kalangan masyarakat kita. Begitu jugalah dengan penghijrahan kaum belia yang ramai ke Semenanjung menunjukkan bahawa tiada peluang ekonomi yang tersedia di persekitaran kita sehingga memaksa mereka ini untuk berkongsi limpahan ekonomi di tempat lain. Kebanggaan masyarakat kita terhadap keramaian graduan yang terjana hasil dari kesedaran kepentingan pendidikan juga mula terhakis bila mana bukan semuanya mendapat peluang pekerjaan yang diharap-harapkan. Harapkan cerah hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari, begitulah keadaan para permata bangsa yang bersusah payah merintangi cabaran namun tidak beroleh pekerjaan sehingga akhirnya segala impian dan harapan para keluarga untuk dirubah dari kepompong kemiskinan juga tidak kesampaian. Saya melihat bahawa inilah antara faktor-faktor yang menyumbang kepada keadaan masyarakat kita hari ini. Hakikatnya harus kita terima bahawa kawasan kita diistiharkan sebagai kawasan yang termundur dan termiskin di Malaysia adalah hasil dari terjemahan realiti masyarakat kita sendiri yang masih mundur hingga ke hari ini.

Bagaimana pun, seperti kata-kata Prof DiRaja Ungku Aziz dalam bukunya itu maka kemunduran dan kemiskinan ini harus diakui oleh masyarakat kita dengan jujur berdasarkan penjelasan yang saya sebutkan di atas. Masyarakat kita tidak harus merasa jangkal dan kekok bila berhadapan dengan ahli masyarakat yang lebih dominan baik di dalam mahupun di luar negara. Kelemahan ini juga tidak harus terus-menerus menghalang masyarakat kita untuk terus berubah menjadi maju. Golongan para cerdik pandai juga perlulah berani untuk memperbaiki keadaan masyarakat kita hari ini. Kesepaduan daripada golongan cendikiawan dalam merangka perubahan minda masyarakat kendiri harus disegerakan dan dijelmakan dalam bentuk tindakan yang proaktif. Jangan pula ada masyarakat cerdik kita yang berfikiran endah tak endah, saling bercakaran dan mengamalkan sikap mementingkan diri apabila hanya memerhatikan kelemahan dan ketidaklangsungan bangsa. Harus diingat bahawa perjuangan sesebuah bangsa yang tulen bukan hanya tertumpu kepada satu-satu bidang sahaja tetapi haruslah merangkumi dari semua aspek sosial, ekonomi dan politik. Tiada gunanya jika sesebuah masyarakat hanya maju dalam bidang pendidikan umpamanya tetapi kurang dalam soal politik. Keagungan Tamadun Greek yang lampau adalah kerana penguasaannya dalam bidang sosioekonomi dan politik yang mantap. Begitu juga dengan kekuatan Tamadun Cina keseluruhannya hari ini adalah kerana disulami oleh kekuatan politik dan ekonominya. Justeru, sudah tiba masanya semua golongan dalam masyarakat kita baik yang kaya mahupun yang kurang kaya, yang pintar mahupun yang kurang pintar, rakyat biasa mahupun bukan rakyat biasa, yang berpendidikan mahupun yang kurang berpendidikan supaya berganding bahu untuk bersatu. Saya percaya jika kekuatan kita bersama terus digembleng maka tidak mustahil suatu masa nanti kita akan dapat melihat terjadinya perubahan terhadap bangsa kita. Hanya kebangkitan semangat perjuangan dan kesatuan bangsa serta kekuatan minda untuk bersatu dalam menghadapi apa sahaja rintangan, cabaran dan konflik yang akan menentukan sama ada jatuh atau bangunnya tamadun bangsa kita di masa yang mendatang.
Salam hormat.
DAVID MEJA
18 Ogos 2009

6 comments:

Anonymous said...

Bagus....satu perkongsian yang positif buat bangsa kita..Teruskan bro..

Anonymous said...

Idea yg bernas dan bersemangat. Cuma mungkin masyarakat minoriti ini masih belum sedar akan keadaan nasib mereka. Anyway sekiranya masyarakat ini cuma maju dari segi sosioekonomi dan politik tetapi meletakan agama di belakang apakah nasib masyarakat ini kelak?

Yang Mundur said...

kesian melihat bangsaku sendiri..Ada juga yang berubah nasiblah dari dulu tapi itu hanya satu dalam seribu. Yang lain macam kami ini tidak tahulah apa nasib..

Orang Bukit said...

kalau kami yang dibukit jangan cakaplah.. tiada langsung perubahan dari dulu.

IsOn said...

Teruskan perjuangan...

David Meja said...

Maka sebab itulah kita semua harus bersatu. Bersama kita memantapkan tamadun bangsa. KITA PASTI BOLEH MENJADI BANGSA YANG BESAR. Dr ison boleh Kita juga boleh..