My Dream

welcome

Lorem Ipsum is simply dummy text of the printing and typesetting industry. Lorem Ipsum has been the industrys standard dummy text ever since the 1500s, when an unknown printer took a galley of type and scrambled it to make a type specimen book. It has survived not only five centuries, but also the leap into electronic typesetting, remaining essentially unchanged. It was popularised in the 1960s with the release of Letraset sheets containing Lorem Ipsum passages, and more recently with desktop publishing software like Aldus PageMaker including versions of Lorem Ipsum.

CATATAN KEMERDEKAAN YANG LESU



Saat kemerdekaan yang dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia kian dekat ketika doktor memutuskan aku agar dimasukkan di sebuah hospital tempatan. Ketika itu, jiwaku terseksa apabila aku sendiri tidak merdeka dari melakukan apa saja lantaran pergerakanku yang amat terhad dan terbatas akibat pembedahan yang aku alami. Di kala semua kawan-kawan telah menghabiskan waktu-waktu cuti yang indah bersama keluarga aku pula terlantar di hospital melalui rawatan dan hanya dapat memperhatikan orang-orang disekililingku. Seakan-akan jiwa meronta kesakitan takkala kebebasanku sebelum ini diragut oleh kesan pembedahan yang aku lalui sendiri.

Pengalaman kecil di hospital ketika bulan kemerdekaan yang lalu telah memberikan aku satu keinsafan bahawasanya nilai kebebasan sebenar hanya akan dihargai oleh orang yang pernah diragut kebebasannya. Peristiwa yang aku lalui ini menjadikan aku faham tentang makna kemerdekaan. 52 tahun yang lalu, seluruh rakyat di Tanah Melayu berhasil mencapai kemerdekaan dan kita tidak dapat membayangkan betapa gembiranya perasaan mereka apabila kebebasan di negara sendiri telah mula dikecapi. Mereka seperti burung yang baru sahaja terlepas dari sangkarnya. Bebas sebebas-bebasnya tanpa ada lagi campurtangan penjajah. Pendek kata, hidup mati negara ini sudah di tangan mereka sendiri.

Rentetan itu, saban tahun kita pasti akan terasa bahang tersebut apabila mendekati tarikh yang penuh keramat itu. Seluruh rakyat Malaysia dari pelbagai bangsa dan agama turut serta demi menghormati kemerdekaan negara yang tercinta dan yang pastinya, setiap dari kita sudah tentu tidak terlepas dari memikirkan apakah makna kemerdekaan dalam diri kita yang sebenarnya.

Kemerdekaan bererti sebuah kebebasan yang mutlak. 46 tahun yang lalu, beberapa pemimpin Sabah ketika itu seperti Tun Mustapha dan Donald Stephens melaungkan kata-kata merdeka buat pertama kalinya sempena peristiwa pembentukan sebuah negara yang baru iaitu MALAYSIA. Sir William Goode iaitu Gobenor Borneo Utara yang terakhir mengatakan bahawa “hari ini merupakan hari yang sungguh bersejarah buat Sabah kerana kemerdekaan ini menandakan bahawa berakhirnya sebuah perjanjian dan bermulanya sebuah pemerintahan sendiri”. Manakala Tunku Abdul Rahman pula berkata bahawa “pembentukan Malaysia akan membolehkan wilayah-wilayah Borneo akan dapat menukar statusnya sebagai tanah jajahan British kepada pemerintahan sendiri dan sekali gus mencapai kemerdekaan melalui Malaysia”. Inilah antara harapan dan perjuangan tokoh-tokoh pemimpin yang sama-sama membentuk sebuah negara yang berkonsepkan rakan kongsi dan bukannya sebuah jajahan yang baru. Hari ini, kita bersyukur kerana Malaysia yang wujud sejak itu masih aman damai dan harmoni serta tidak berlakunya persengketaan.

Namun persoalan yang menerjah di benak kita semua pada hari ini ialah hasrat rakyat Sabah untuk bebas dari konsep belengu penjajahan supaya dapat memimpin dan menentukan masa depan sendiri seperti yang termaktub dalam beberapa dokumen Perjanjian Malaysia nampaknya kian pudar bersama lipatan sejarah kemerdekaan negara. Fakta tentang sejarah kemerdekaan Sabah yang diperolehi daripada British pada 31 ogos 1963 dan sejarah Pembentukan Malaysia yang sebenar pada 16 September tahun yang sama nampaknya semakin lama dilupakan oleh pemimpin. Ini menjadikan generasi baru pada hari ini kelihatannya terpinga-pinga untuk memahami kewujudan Malaysia kerana kurangnya pendedahan dan penjelasan yang tertib tentang sejarah pembentukan negara ini. Tidaklah amat keterlaluan jika dikatakan bahawa golongan muda kita pada hari ini hanya tahu tentang peristiwa 31 Ogos 1957. Justeru, di mana silapnya jika realiti sejarah ini diperbetulkan dan diperjelaskan? tetapi nampak gayanya ini belum menjadi keutamaan kepimpinan negara kini.

Sebuah kemerdekaan juga merupakan suatu keadilan yang nyata. Namun dalam ruang keadilan yang kita nikmati dalam negara kita kini ternyata masih ada lompangnya. Kekadang naluri hati yang tulen dan waras masih tertanya-tanya mengapa di Sabah seorang pegawai kerajaan yang dilahirkan di Tanah Melayu mempunyai gaji yang tinggi berbanding dengan pegawai yang sama yang dilahirkan di Kepulauan Borneo walaupun mereka ini mempunyai pangkat dan kelulusan yang sama tarafnya. Begitu juga kisahnya dengan lambakan siswazah di negeri Sabah ini yang gagal mendapat pekerjaan sedangkan ramai pula graduan dari negeri seberang yang dihantar untuk berkhidmat di negeri ini. Apakah ini menunjukkan bahawa kita pada hari ini masih lagi ditakuk lama yang masih dianggap tidak layak untuk berkhidmat dan mentadbir negeri sendiri? Inilah antara satu dalam banyak lagi persoalan yang masih belum punya penghujungnya.

Gagasan 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri kita sekarang ini juga merupakan sebahagian daripada manifestasi tujuan kemerdekaan bagi negara kita. Ianya sungguh baik untuk rakyat jelata Malaysia yang cintakan perpaduan, keadilan dan keamanan. Dalam gagasan hebat ini sudah pasti tiada lagi kasta bagi masyarakat yang majmuk kerana semua rakyat Malaysia menjadi satu bangsa. Tiada lagi kawasan yang menjadi anak emas bagi pemerintah kerana semua tempat di Malaysia ini berhak untuk tidak dianaktirikan. Tidak kiralah dimana kita berada, apakah agama yang kita anuti dan apakah bangsa kita asalkan kita rakyat Malaysia maka kita semua adalah satu dalam Malaysia. Namun dalam konteks Sabah dalam Malaysia ketika ini, ternyata konsep ini masih jauh dari apa yang difikirkan oleh rakyat Sabah keseluruhannya. Ternyata iklan-iklan yang digambarkan dikaca TV sekali pun amat mengenepikan kewujudan pelbagai bangsa di Sabah. Yang kelihatan hanyalah gabungan MIC (Malay, India , Cina) sahaja. Mungkinkah kita dilupakan?

Sesungguhnya, 1Malaysia telah pun berakar umbi dalam jiwa masyarakat kita di Sabah. Sungguh tidaklah melampau jika dikatakan bahawa gagasan ini telah pun merentasi sempadan budaya, agama dan bangsa kita sejak sekian lamanya. Justeru, kerajaan dan pemimpin negara ini haruslah melihat dan mentransformasikan 1Malaysia dalam ruang lingkup yang lebih luas di negeri ini. Kesedaran atas ketanggungjawaban dalam memimpin dan mencorakkan masa depan negeri Sabah sendiri sudah lama diimpikan oleh keseluruhan rakyat Sabah. Maka dengan itu, gagasan ini harus diterjemahkan melalui kepercayaan kepada anak jati Sabah dalam memimpin dan menjalankan usaha pentadbirannya mengikut acuan sendiri sesuai dengan konsep dan formula pembentukan negara yang menjamin kedudukan Sabah dalam Malaysia.
Sekadar memetik kata-kata yang ulung dari seorang negarawan ulung, Kemerdekaan sesebuah bangsa adalah kebebasannya dalam memimpin dan menjalankan pemerintahan sendiri tanpa adanya sebuah bangsa lain yang mencampurinya. SELAMAT HARI MALAYSIA (16/9)

1 comments:

Umar Safri said...

salam merdeka tuan!

semoga sihat walafiat...