My Dream

welcome

Lorem Ipsum is simply dummy text of the printing and typesetting industry. Lorem Ipsum has been the industrys standard dummy text ever since the 1500s, when an unknown printer took a galley of type and scrambled it to make a type specimen book. It has survived not only five centuries, but also the leap into electronic typesetting, remaining essentially unchanged. It was popularised in the 1960s with the release of Letraset sheets containing Lorem Ipsum passages, and more recently with desktop publishing software like Aldus PageMaker including versions of Lorem Ipsum.

“ORANG KITA”



AKTIVITI MENYEMBUR RACUN

Saya baru saja pulang dari meninjau-ninjau kebun kelapa sawit di belakang rumah ketika saya menulis artikel ini. Sudah sembilan hari berlalu namun saya masih belum melihat kelibat kekuningan yang biasanya berlaku pada semak samun apabila selesai disembur racun rumput. Seminggu yang lalu saya telah mengupah seseorang (orang tempatan) untuk menyembur racun di kebun saya. Secara kebetulan, orang itu memang hendak mencari kerja kerana perlukan wang. Jadi, saya terus mengupah orang itu dan dia berjanji untuk buat kerja itu keesokan harinya. Niat di hati saya adalah tulus untuk menolong. Justeru saya biarkan orang itu buat kerja walau pun saya tiada di sana dengan harapan agar orang itu pun buatlah kerja dengan baik. Namun hasilnya adalah agak amat mengecewakan saya. Tapi apa nak buat gajinya pun dah diberikan.

Lima bulan yang lalu saya pernah mengupah seseorang (orang asing yang mempunyai permit kerja) untuk melakukan perkara yang sama iaitu menyembur racun di kebun yang sama. Orang ini pada mulanya hanya bertanya samada terdapat kerja sampingan atau tiada. Jadi kebetulan pula kebun sawit saya itu sudah semak maka saya katakan ada iaitu menyembur racun. Orang itu pun sanggup buat kerja tanpa bertanya gajinya terlebih dahulu. Jadi, keesokan harinya dia pun buat kerja tanpa saya ada di sana juga. Tiga hari kemudian hasil kerjanya sungguh memuaskan hati dan saya pun langsaikan gajinya.

AKTIVITI MEMBINA KANDANG KAMBING

Setahun yang lalu saya mengupah seorang penduduk kampung (orang tempatan) untuk membina sebuah kandang kambing. Saiz kandang kambing itu tidak sebesar mana pun. Kebetulan orang ini memang perlukan kerja juga demi menyara keluarganya. Hari pertama orang ini buat kerja dia telah berjumpa dengan saya untuk meminjam wang kerana kesempitan. Tiada beraslah, tiada wang bayar hutanglah dan macam-macam lagi alasan. Jadi, atas dasar belas kasihan saya pun pinjamkan orang ini sejumlah wang. Hari berikutnya pun begitu juga keadaan orang ini. Sehingga akhirnya jumlah pinjaman orang itu dah melebih jumlah gajinya namun peratus kerja orang ini tidak pun sampai separuh. Dipendekkan cerita, tanpa menyiapkan kerja dan tanpa alasan orang ini berhenti kerja begitu saja. Dalam hal ini saya tidak dapat berbuat apa-apa lagi. Silap saya juga kerana terlalu mempercayai orang ini. Akhirnya, saya terpaksa meminta pertolongan daripada seorang pekerja asing yang kebetulan tinggal berdekatan di tempat saya. Orang asing ini berjaya menyiapkan kandang kambing saya itu dalam masa lima hari saja tanpa ada pinjaman.

MENJADI PENJAMIN

Pada bulan oktober 2008, seorang penduduk kampung yang juga merupakan saudara terdekat saya meminta agar saya menjadi penjamin kepada beliau kerana hendak membeli sebuah motorsikal bagi kegunaannya menjual ikan di kampung. Pada mulanya, saya agak keberatan menjadi penjamin kepada orang ini kerana bimbang orang ini tidak dapat menampung bayaran bulanan motorsikal ini. Namun, apabila orang ini merayu kepada saya sehingga beberapa kali maka saya pun jatuh kasihan lalu membantunya. Lagi pula, semasa beliau merayu dia katakan bahawa dia sanggup memotong jarinya jika tidak dapat membayar bulanan motorsikal itu. Saya tersenyum saja dan keesokannya orang ini sudah berjaya mengeluarkan sebuah motorsikal berjenama Honda hasil dari pertolongan saya. Dalam hal itu saya juga gembira kerana dapat membantu orang ini.

Dipendekkan cerita, minggu lepas (setelah hampir setahun) saya terkejut apabila satu surat saman daripada syarikat motorsikal itu diberikan kepada saya. Rupa-rupanya, sudah lima bulan motorsikal itu tidak dibayar. Saya pun datang ke rumah saudara saya itu untuk meminta penjelasan namun jawapan yang diberikan sungguh tidak masuk akal saya. Akhirnya, dengan berat hati saya membayar tunggakan motosikal itu bagi mengelakkan nama saya daripada blacklist. Saya juga mengambil motorsikal itu daripada saudara saya kerana bimbang kalau dia tidak dapat membayar lagi. Sekarang motorsikal itu hanya terperap di rumah kerana tiada yang pakai. Lebih baik begitu daripada saya menanggung kerugian yang tidak berbaloi. Dalam hal itu, hati saya berbisik “tidak tolong pun susah, menolong pun susah”.

AKTIVITI MENGHANTAR ORANG

Perkara ini pula berlaku semasa saya baru bekerja kira-kira empat tahun yang lalu. Kira-kira lima bulan dari itu saya pun membeli sebuah kereta. Saya tinggal bersama ibubapa di mana lokasinya berdekatan dengan Pekan Tandek (Kg. Asin-Asin). Sebagai ibubapa sudah tentu mereka tumpang gembira melihat anak mereka mempunyai kereta. Keluarga-keluarga yang lain juga tumpang gembira. Dipendekkan cerita lagi, adalah seorang makcik saya ini (kira sepupu ibu saya yang jauh) yang tinggal di kampung bersebelahan selalu pergi ke tamu di Pekan Tandek pada setiap hari khamis. Jadi apabila hari petang maka dia selalu singgah di rumah kami dan meminta agar dihantar ke rumahnya. Begitulah keadaannya selalu apabila hari khamis. Kadang-kadang itu saya agak bosan juga dengan karenah makcik ini namun ibu saya selalu menasihatkan saya agar selalu membantu orang tua.

Minggu berganti minggu dan bulan berganti bulan maka saya pun sampailah ke satu tahap bosan yang teramat sangat dengan karenah makcik ini. Bukannya tidak mahu menolong dan tidak menghomati orang tua tapi kalau sudah dijadikan rutin mingguan maka saya pun ada hadnya. Jadi, mulai hari itu saya pun tidak balik ke rumah sehingga malam jika hari khamis kerana hendak mengelak daripada makcik itu. Dijadikan cerita, selepas beberapa bulan dari itu maka saya pun terdengar beberapa cakap-cakap kosong bahawa makcik itu mengatakan bahawa saya terlalu sombong dan tembirang. Hati saya agak geram jugalah dengan makcik ni tapi apa yang boleh dibuat. Saya tahu mungkin itu adalah tindak balas daripada makcik tu kerana saya tidak menghantarnya lagi tapi nak buat macam mana kan? Kita memang tidak akan dapat memuaskan hati semua orang.

MENYARA ORANG SUSAH

Kisahnya bermula ketika saya baru menamatkan pengajian di universiti. Terdapat sebuah keluarga yang susah sehingga tiada tempat tinggal. Entah apa yang berlaku sehingga mereka ini langsung tiada tempat berteduh maka ayah saya pun mengizinkan mereka sekeluarga untuk tinggal di rumah kami. Demi dasar belas kasihan segala perbelanjaan makan minum di dalam rumah kami ditanggung oleh kami sekeluarga. Ketika itu saya pun belum mendapatkan kerja dan hanya membantu ayah menoreh getah.

Dipendekkan cerita lagi, setelah beberapa bulan mereka tinggal di rumah kami itu saya pun mulai berasa janggal dengan mereka sekeluarga. Sudahlah mereka makan-minum free saja sehinggakan soal menyediakan makanan pun ibu saya yang buat semuanya. Selepas makan, bekas-bekas makanan (pinggan mangkuk) pun ibu saya pula yang tolong kemaskan dan bersihkan. Begitulah setiap hari yang berlaku. Kadang-kadang tu, saya marah dengan sikap ibu saya hanya berdiam diri saja dengan karenah mereka.

Keadaan itu berlarutan sehingga hampir setahun mereka tinggal di rumah kami. Mereka hanya duduk di rumah saja setiap hari tanpa memikirkan keadaan mereka. Inisiatif untuk membina rumah sendiri pun tiada langsung kerana mereka sangat selesa tinggal di rumah kami itu. Jiwa saya pula mulai dirasuk setan melihat telatah mereka yang bagaikan raja di dalam rumah. Hanya menunggu untuk dihidangkan makanan. Mereka langsung tidak memikirkan kesulitan kami yang menyara mereka. Kalau sehari dua tidak apa juga tapi ini dah setahun mereka tinggal bersama kami tanpa ada inisiatif untuk membantu kami.

Satu hari ketika saya baru balik dari kerja. Ibu saya mengadu tidak sihat. Ayah pula masih di kebun. Makan minum masih belum ada. Mereka sekeluarga pula asyik melepak di rumah menonton TV. Maka meluaplah darah muda saya. Tanpa saya sedari, saya mula mengamuk dengan mereka. Lantas keluarlah perkataan dari mulut saya mengatakan “mulai esok kamu harus cari tempat tinggal lain kerana saya tidak mahu lagi kamu tinggal di rumah ini”. Ibu saya marah dengan kata-kata saya itu tapi saya berpuas hati kerana dapat menyedarkan mereka akan keadaan kami. Seminggu kemudian mereka pun pindah entah ke mana. Saya pun tidak ambil peduli lagi. Tolong-tolong juga tapi kalau dah melampau kita pun ada hadnya.

Beginilah antara beberapa pengalaman yang saya alami dengan orang kita. Kadang-kadang saya terfikir juga bahawa kemiskinan bagi sesetengah orang kita ini bukanlah kerana dia dilahirkan miskin tetapi ia disebabkan oleh faktor sikap dan pemikiran. Bagaimana nak maju kalau sikap memang pemalas, kerja tidak bersungguh-sungguh, tidak tahu berdikari sendiri, pentingkan diri dan berfikiran pendek serta tidak tahu menghargai pertolongan orang lain. Suatu ketika dulu, keadaan keluarga kami juga amat daif. Namun dengan usaha dan iltizam kedua ibubapa saya maka kami telah dapat keluar dari kepompong kemiskinan. Hari ini, saya tidaklah sekaya mana pun tetapi tidaklah mewarisi kemiskinan nenek moyang dulu.

3 comments:

Umar Safri said...

1 coretan ttg paradigma "org kita" yg bersahaja tapi amat berkesan. tahniah atas kejayaan demi kejayaan yg datang. bersetuju dgn tuan bhw sikap dan pemikiran itu perlu ditransformasikan terlebih dahulu. dgn cara ini, mereka akan mula berdikari keluar daripada kepompong kemiskinan.

teruskan perjuangan!

IsOn said...

Tidak semua orang kita begitu, dan tidak semua orang asing tidak begitu, tapi hakikatnya memang ramai orang kita yang begitu.

Inilah penyakit orang kita yang perlu diubati. Kita sudah menemukan penawar penyakit ini iaitu berusaha sehingga berjaya, tapi ramai lagi yang masih 'memelihara' penyakit ni. Bahkan di kalangan ahli keluarga kita sendiri.

Mungkin ini juga satu cabaran yang harus kita pikul untuk membina kesedaran dalam diri orang2 kita. Tidak apa orang kata kita sombong, angkuh dan sebagainya. Asalkan niat kita iklas untuk menyedarkan mereka bahawa setiap kejayaan dan kemajuan yang dicapai, ada harga yang harus dibayar.

Nota: Kita tolong dengan free saja sudah sangat bagus. Masuk tandas awam yang kotor di Kota Marudu pun kena bayar rm0.20 bah. ;I

David Meja said...

Hai Sdr Umar.

Salam Revolusi, seperti kata Dr ison, inilah penyakit yang ada penawarnya tetapi amat susah untuk diubati. Semuanya berpunca dari Sikap dan Pemikiran yang tidak berganjak dari ruang yang sempit. Saya yakin semua orang boleh sembuh dari penyakit kemiskinan jika adanya revolusi minda.

Dr Ison,
Memang bukan semua orang kita begitu tetapi realitinya memang ada. Saya fikir, dalam hal sikap kerja dan usaha sesetengah orang asing yang ingin mencipta kemajuan di bumi asing boleh juga dicontohi oleh orang kita.

Haha, ya betul tu Dr. sekarang ni masuk tandas pun bukannya free.



"BERSAMA KITA MEMAJUKAN BANGSA"